Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama untuk mengawal selia penjaja yang menjual makanan tidak sihat di luar kawasan sekolah, kata seorang pakar pemakanan.

Prof Dr Zalilah Mohd Shariff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pada masa ini, sekolah hanya mempunyai kuasa untuk mengawal selia pengusaha kantin sekolah agar mereka menjual makanan sihat.

"Tetapi, di luar kawasan sekolah, tidak banyak yang boleh dilakukan pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, campur tangan PBT diperlukan berhubung perkara ini kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Antarabangsa Permata (PIC) 2016, di sini pada Rabu.

Beliau juga menggesa penjaja supaya lebih berwaspada dan bertanggungjawab dari segi jenis makanan yang mereka jual kepada kanak-kanak.

Terdahulu, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Obesiti Kanak-kanak dan Pemakanan', Dr Zalilah berkata kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin mengalami obesiti kerana mereka kurang berkemampuan untuk membeli makanan sihat.

Katanya, kini, makanan sihat lazimnya lebih mahal daripada makanan tidak sihat. "Lihatlah harga ayam dan daging lembu berbanding harga nugget dan sausej. Harga ayam dan daging lembu adalah lebih mahal," katanya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan, melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melaksanakan tugasnya dengan baik bagi mengurangkan harga sayur-sayuran dan buah-buahan dengan menghapuskan orang tengah, namun banyak lagi yang boleh dilakukan.

"Sekurang-kurangnya, pastikan makanan lebih sihat dijual pada harga lebih murah bagi isi rumah yang berpendapatan rendah, katanya.