Crocus sativus L. atau lebih dikenali sebagai Saffron atau Za'faran merupakan herba termahal di dunia. Ia digunakan sejak ribuan tahun dahulu terutama di Asia Barat sebagai rempah utama dalam masakan.

Digelar raja segala rempah, helaian-helaian halus berwarna merah za'faran, merupakan stigma kering daripada bunga saffron yang mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi.

Hanya boleh ditanam di kawasan negara empat musim seperti kawasan Mediteranean, Asia Barat dan Eropah, harganya di Malaysia boleh mencecah antara RM28,000 hingga RM32,000 bagi setiap satu kilogram.

Bagaimanapun, usaha sekumpulan penyelidik Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) diketuai Profesor Dr Rosna Mat Taha bersama Nordiyanah Anuar, Noraini Mahmad, Asif Khan, Dr Sadegh Mohajer, Nor Amirah Md. Nor telah berjaya menanam dan menghasilkan bunga saffron di Malaysia selain memperolehi stigmanya yang digunakan dalam masakan.

Pokok saffron yang ditanam secara in vivo dalam bilik kultur itu berbunga buat pertama kalinya dari November hingga Januari lepas.


Kajian bermula

Saffron boleh membesar mencapai ketinggian 15 hingga 30 sentimeter dan untuk memperolehi 5kg hingga 7kg saffron yang kering memerlukan keluasan tanah lebih kurang satu hektar.

Setiap bunga hanya mempunyai tiga stigma dan bagi mendapatkan 10 gram stigma za'faran pula memerlukan 1,000 kuntum bunga za'faran dan ini menyebabkan harganya menjadi sangat tinggi.

Kejayaan penyelidikan saffron di Malaysia hingga berjaya menghasilkan bunganya buat pertama kali di kawasan beriklim tropika memberi satu petanda positif akan potensinya di sini.

Bagaimanapun, ia masih memerlukan kajian lebih mendalam sehingga ia boleh dikomersialkan mengikut persekitaran dan cuaca yang ada di Malaysia, menurut Rosna yang memulakan projek penyelidikan ini pada 2014 melalui geran penyelidikan UM.

"Saffron hanya boleh hidup di negara empat musim seperti di negara-negara Mediteranean atau Asia Barat seperti Iran, yang merupakan pengeluar terbesar di dunia, sementara Turki, Kashmir atau negara-negara Eropah seperti Sepanyol dan Perancis juga menghasilkan saffron tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

"Apabila ia boleh berbunga di Malaysia, ini memberi satu harapan untuk menanam saffron di Malaysia dan seterusnya tidak mustahil untuk dikomersialkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tanaman unik yang dianggap 'emas merah' dunia ini digunakan sejak turun temurun dalam masakan dan kini semakin meluas digunakan sebagai bahan pewarna, minyak wangi dan dalam bidang perubatan serta sebagai campuran dengan madu untuk makanan kesihatan.

Mengandungi safranin, ia bertindak sebagai anti-kanser dan anti-oksidan yang sangat berkesan. Antara khasiat saffron ialah merangsang pertumbuhan sel-sel otak manusia bagi membantu menguatkan daya ingatan. Banyak tercatat di dalam kitab-kitab perubatan Islam mengenai khasiat dan kebaikan saffron yang turut diperakui oleh ahli perubatan barat moden.

Di India, saffron banyak digunakan bagi membantu masalah pencernaan. Kaya dengan vitamin B2 dan Riboflavin, kajian juga mendapati saffron dapat mengelakkan sistem pencernaan daripada kanser. Ia juga banyak digunakan sebagai bahan penenang kepada mereka yang menghadapi masalah tekanan jiwa.


Keunikan saffron

Merupakan tumbuhan yang sensitif dan memerlukan penjagaan rapi, ia membiak melalui umbisi (corm) pada tanah dan akan mengeluarkan bunga pada awal musim luruh pada suhu antara 11 dan 18 darjah Celsius.

Di Iran, saffron akan mula mengeluarkan bunga setiap tahun dari September-November. Proses itu akan berulang dan umbisi (corm) itu mampu mengeluarkan bunga sehingga 10 tahun.

Benih baharu bagaimanapun akan diganti setiap lima tahun bagi menghasilkan stigma bunga yang berkualiti tinggi.

Menurut Rosna, kajian awal daripada kejayaan penanaman dan pembungaan saffron melalui penanaman secara in vivo mendapati ia sesuai dan membesar dengan baik menggunakan tanah hitam serta akan berbunga pada suhu 15-20 darjah Celsius.

Apabila saffron diletakkan pada suhu 21-28 darjah Celsius, hanya 50 peratus sahaja yang berbunga dan pada suhu melebihi 30 Celsius, langsung tidak ada saffron yang menghasilkan bunga. Nutrien pada tanah hitam yang digunakan sangat sesuai untuk pertumbuhan saffron di Malaysia.

"Selepas lebih kurang dua bulan, pokok saffron menghasilkan bunga yang berwarna ungu dan berbau harum sama seperti yang biasa dihasilkan di negara asalnya. Dalam kajian ini, saffron telah menghasilkan bunga pada bulan November, Disember dan Januari, sedikit berbeza dengan di Iran yang berbunga pada musim luruh (akhir Sept-November)," katanya.


Menambahbaik kajian

Pertumbuhan dan penghasilan bunga saffron banyak dipengaruhi oleh suhu, jenis tanah dan juga rawatan awal (pre-treatment) terhadap corm atau umbisinya. Struktur bunga saffron terdiri daripada lima kelopak, tiga stigma dan tiga stamen.

Kumpulan penyelidik itu kini menjalankan kajian untuk penambahbaikan daripada segi penanaman dan pembungaan secara in vitro atau kaedah kultur tisu.

Menurut Rosna, saffron membiak dengan sangat perlahan dan menghasilkan sangat sedikit anak benih secara semulajadi. Oleh itu teknik kultur tisu untuk mikropropagasi tumbuhan ini penting dalam menyelesaikan masalah ini.

"Kaedah bioteknologi membolehkan tumbuhan ini dimajukan dan menjadikan ianya berpotensi besar untuk ekonomi negara," katanya.

Kajian yang dilakukan itu turut diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada tahun lepas, kajian itu memenangi pingat perak dalam pertandingan iCompEx 2015, di Politeknik Muadzam Shah, Jitra, Kedah.

Baru-baru ini, kajian itu juga telah memenangi pingat emas dalam pertandingan The 2nd World Invention Innovation Contest (WiC) 2016 di Korea Selatan.