Kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai program dan pakej pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2017.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata usaha yang dijalankan termasuk menawarkan diskaun untuk 1,000 bilik hotel di seluruh negeri.

"Tawaran istimewa itu diberikan hasil kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program "Bongkar Old Town The Other Festival 2017" di sini pada Ahad.

Selain itu, Nolee Ashilin berkata pihaknya juga mengadakan perjanjian dengan pengendali pakej pelancongan untuk membawa kira-kira 30,000 pelancong dari Jepun ke Perak.

Beliau berkata, sejumlah 7 juta pelancong domestik dan luar negara disasar mengunjungi Perak sempena TMP 2017.

Mengenai "Bongkar Old Town The Other Festival 2017", Nolee Ashilin berkata program itu akan diadakan Okt tahun depan dan diketengahkan sebagai antara hub seni serta budaya untuk penggiat seni tempatan dan antarabangsa di Pekan Lama Ipoh.

Katanya program anjuran Kakiseni dengan kerjasama kerajaan negeri itu merupakan inisiatif untuk menarik lebih ramai pengunjung menyertai program berkaitan di sekitar kawasan tersebut.

"Program tersebut turut dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri sempena TMP 2017," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kakiseni Low Ngai Yuen berkata pihaknya mengharapkan lebih ramai penglibatan penggiat seni tempatan dan antarabangsa dalam program yang dianjurkan tahun depan. -- Bernama