Televisyen dan aplikasi telefon pintar boleh digunakan sebagai platform kandungan selamat kepada kanak-kanak.

Ia bergantung kepada pembabitan ibu bapa dalam pemilihan kandungan yang selari dengan keperluan pendidikan selain menyediakan persekitaran menyeluruh serta seimbang kepada kanak-kanak.

Duta jenama bagi rangkaian televisyen kanak-kanak ZooMoo, Aishah Sinclair berpendapat di sebalik persepsi negatif terhadap penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak, apa sahaja aktiviti bersama mereka boleh dijadikan medium pembelajaran.

"Apa sahaja aktiviti boleh dijadikan sebagai peluang pembelajaran. Saya tahu ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka menonton televisyen.

"Bagi saya, jika ia digunakan dengan baik, sama seperti buku atau aplikasi ataupun lawatan ke taman, semuanya adalah peluang untuk belajar kerana ibu bapa boleh mengaplikasikan diri dan memberi respons, iaitu berinteraksi dengan anak.

"Itu adalah keseimbangan yang diperlukan," kata Aishah selepas Pelancaran Program Animasi Televisyen anak-kanak terbaru, Origanimals oleh rangkaian ZooMoo di Kuala Lumpur, pada Jumaat.


Aishah, ibu kepada dua anak juga mengakui pelbagai pengetahuan sudah dikongsikan anaknya melalui program televisyen.

Mengulas pemilihannya sebagai duta jenama ZooMoo, Aishah berharap lebih ramai kanak-kanak akan berpeluang mengenali pelbagai haiwan di dunia ini serta untuk ibu bapa meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Saya harap saya dapat belajar lebih banyak lagi mengenai haiwan bersama anak-anak saya. Berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu kecil, dunia haiwan adalah antara yang paling menarik bagi saya.

"Saya mahu bersama anak saya dalam perjalanan ini, dan saya harap mereka akan mendapat semangat dan ia mencetuskan perasaan ingin tahu dan melihat sendiri haiwan dalam kehidupan sebenar," kata Aishah.

Zoomoo adalah rangkaian televisyen yang menyediakan kandungan khusus menerusi program yang memberi pendedahan luas dalam dunia haiwan dari seluruh dunia.