Bersempena dengan perayaan Hari Krismas yang bakal berkunjung tiba tidak lama lagi, masyarakat beragama Kristian di seluruh dunia seolah-olah tidak sabar meraikan perayaan itu.

Pelbagai acara menarik dianjurkan dan terbaharu di Greece, kira-kira 200 orang peserta yang terlibat dalam acara larian tahunan Fun Run sambil menyarungkan kostum Santa Klaus bagi memeriahkan acara itu.

Acara larian sejauh 2.5 kilometer itu berlangsung di pinggir bandar Athens di Glyfada pada Sabtu.

Larian Santa Run yang memasuki tahun keempat penganjurannya ini diadakan bagi mengumpul dana membantu atlet yang bukan daripada pasukan kebangsaan atau ditaja.

Ini bagi membolehkan mereka menampung perbelanjaan sewaktu menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.