Kehangatan Pesta Kaamatan makin dirasai oleh masyarakat di negeri ini apabila semua lapisan masyarakat 'turun padang' bagi memeriahkan lagi perayaan kesyukuran ini.

Tinjauan Astro AWANI di Pusat Kebudayaan KDCA pada Rabu, mendapati bilangan pengunjung yang datang ke acara ini semakin bertambah walaupun dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Yang pastinya, penglibatan semua kaum dalam menyemarakkan lagi suasana Kaamatan ini diharap dapat menguatkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dinegeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Peter Anthony beliau menggesa agar rakyat di negeri ini untuk menyambut hari kegemilangan buat kaum Kadazandusun Murut (KDM) dengan penuh tradisi dan kekeluargaan.

Jelas Peter, ini adalah waktu yang tepat untuk masyarakat menyambut pesta ini dengan penuh kegembiraan dan melupakan segala perkara negatif yang boleh memecah belahkan hubungan.

"Kita galakkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, tanpa memilih fahaman perbezaan dan sebagainya.

"Jadi kita berjaya msnganjurkan satu perayaan yang kita kira diperingkat yang begitu baik dimana kehadiran orang ramai di KDCA begitu luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, Peter juga menyeru agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menyedia dan membina satu tempat yang boleh menempatkan lebih banyak etnik.

Tambah Peter, ini bukan sahaja untuk keselesaan pengunjung, bahkan ia juga akan menjadikan tempat tersebut sebagai salah satu tarikkan kepada pengunjung untuk mengetahui lebih mendalam asal usul pelbagai etnik yang terdapat di negeri ini.

"Kita pun tahu kapasiti untuk menampung kehadiran orang ramai pada hari ini pun kalau kita kira tidak mencukupi.

"Jadi saya berharap agar beliau (Mohd Shafie) untuk bersama-sama membantu kita menyediakan atau membina satu tempat yang besar dan boleh menempatkan lebih banyak etnik seperti di KDCA ini," katanya.

Sementara itu, peserta Unduk Ngadau yang mewakili daerah Putatan, Vanessa Audry Gilbert ketika ditemui berkata kehadiran Unduk Ngadau pastinya menjadi acara yang paling ditunggu-tunggu bagi merancakkan lagi hari Kaamatan.

Menurut Vanessa, seseorang Unduk Ngadau yang dipilih haruslah mengetahui asal-usul dan budaya mereka agar tidak melupakan tradisi nenek moyong mereka dahulu kala.

"Unduk Ngadau yang dipilih mestilah mengekalkan adat resam dan budaya kitalah.

"Jika masuk pertandingan Unduk Ngadau ini, peserta haruslah mahir bertutur dalam bahasa ibunda dimana juri akan melihat sama ada peserta itu masih kekalkan bertutur dalam bahasa ibunda ataupun tidak.

"Justeru, kami disini, kami dinilai oleh juri sama ada kami masih tahu atau tidak pasal kebudayaan kami," katanya.