Biarpun perlu melupakan seketika kemeriahan aktiviti mencandat sotong pada April lalu kerana terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun nelayan di Kuala Nerus ini akhirnya dapat menarik nafas lega.

Abdillah Abd Rashid, 56, yang turut menyediakan perkhidmatan bot sewa untuk aktiviti itu di Jeti Nelayan Kuala Nerus, berkata tempahan diterima untuk turun mencandat oleh orang awam mula meningkat sejak negara beralih kepada fasa pemulihan PKP.

Dia yang telah turun ke laut sejak usianya 18 tahun, bagaimanapun, perlu bersedia untuk menjalankan aktiviti popular itu dalam suasana normal baharu berikutan penularan wabak COVID-19.

“Semakin ramai yang membuat tempahan bot sewa untuk turun mencandat. Tapi disebabkan wabak ini jadi sebelum ini saya terpaksa tangguh dahulu.

“Saya juga perlu mendapatkan permit dan lesen dahulu sebelum boleh bawa orang awam turun mencandat,” ujarnya ketika ditemui Astro AWANI.

Pak Awang sempat membuat demonstrasi pembuatan 'ranggong' atau perambut yang digunakan sebagai alat untuk mencandat sotong. - Foto Astro AWANI/Najmi Mamat

Dia yang sudah empat dekad berkecimpung dalam sektor itu, berkata bagi peminat yang sekian lama menantikan peluang untuk turun ke laut, bagaimanapun, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, bagi pihak para nelayan dan pemilik bot, selain perlu mendapatkan lesen dan permit, mereka perlu menyediakan alat pemeriksaan suhu badan dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan orang awam yang ingin mencandat.

“Oleh kerana virus (COVID-19) masih ada, pihak bertanggungjawab ada memberi taklimat ringkas mengenai SOP. Antaranya, perlu menyediakan alat pemeriksaan suhu badan, setiap peserta perlu memakai topeng muka dan sentiasa membasuh tangan,” katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Awang.

Antara umpan yang pernah digunakan untuk mencandat sotong yang harganya mencecah sekitar RM 30 sebentuk. - Foto Astro AWANI/Najmi Mamat

Katanya, kadar bot sewa untuk mencandat masih sama seperti tahun lalu iaitu sekitar RM1,000 untuk satu malam selain bot hanya boleh memuatkan tujuh hingga lapan orang sebagai langkah penjarakan sosial.

Terdahulu, kerajaan negeri Terengganu telah membuka semula program mencandat sotong dengan menyediakan SOP lengkap sesuai ketetapan Majlis Keselamatan Negara.

Setiap tahun, bermula April hingga Ogos merupakan kemuncak bagi aktiviti mencandat sotong di negeri itu.