Dalam kehangatan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11, Henry Ta-o Bunan dan pekerjanya sedang sibuk memetik biji lada di ladangnya terletak kira-kira 50km dekat sini.

Ini adalah masa paling sibuk bagi pengusaha tanaman lada berikutan musim menuai sudah bermula bulan lepas, dan kerja keras mereka berbaloi berikutan permintaan terhadap rempah-ratus, lada hitam atau putih, melambung tinggi dalam tempoh tiga tahun lepas.

Lada hitam, dianggap 'emas hitam' Sarawak, adalah daripada biji lada hijau belum masak yang dipetik dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

Harganya melonjak kepada RM28 sekilogram daripada RM16.67 pada 2013.

Lada putih atau 'emas putih', yang dihasilkan daripada biji lada masak yang direndam dalam air kira-kira satu minggu, berharga RM46.50 sekilogram daripada RM26.31 sekilogram.

Berikutan pulangan yang lumayan, industri berkenaan telah meningkatkan kehidupan puluhan ribu petani luar bandar di negeri ini.

Di ladang beliau di Kampung Semadang off Jalan Puncak Borneo, Ta-o menanam kira-kira 1,000 pokok lada, dan 700 daripadanya dijangka berbuah tahun ini.

Pada tahun lepas, lelaki Bidayuh berusia 72 tahun itu meraih pendapatan RM23,000 daripada 600 pokok lada, dan beliau berharap memperoleh hasil yang lebih tahun ini.

"Menanam lada memberi pulangan menguntungkan, tetapi kita perlu lakukannya sepenuh masa. Saya menanam lada lebih 40 tahun, membolehkan saya menghantar kesemua sembilan anak saya ke sekolah dan berapa daripada mereka adalah graduan universiti," katanya.

Penanaman lada juga boleh membabitkan kos yang tinggi berikutan kos baja dan racun perosak, selain cuaca tidak menentu juga boleh menjejaskan aktiviti tersebut.

Di Sri Aman, pesara polis Salleh Sungam, 68, dan isterinya Duni Langgi boleh tersenyum lebar di ladang mereka di Gua Sukat.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan baja dan bantuan kepada pengusaha lada berskala kecil seperti kami. Sekurang-kurangnya, saya boleh mendapatkan pendapatan sampingan untuk keluarga," katanya.

Ta-o dan Salleh adalah antara 67,000 penanam lada di Sarawak, yang merupakan pengeluar terbesar produk rempah-ratus di negara ini.

Menurut Lembaga Lada Malaysia, kira-kira 28,000 tan metrik lada dihasilkan oleh Sarawak tahun lepas, berbanding 26,200 tan metrik pada 2013, dan 27,200 tan metrik pada 2014.