PRUDENTIAL Just Run adalah cabaran maya selama tiga bulan yang menggalakkan rakyat Malaysia membentuk tabiat senaman berjalan, berlari atau mendaki.

Ketua Pelanggan dan Pegawai Pemasaran, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Eric Wong berkata ia merupakan cabaran menetapkan sasaran bagi setiap peserta untuk berlari dalam jarak 200 kilometer dalam tempoh tiga bulan.

"Di Prudential, kami menyedari bahawa perlindungan bukan sahaja merangkumi ketenangan fikiran kewangan tetapi juga kesihatan dan kesejahteraan seseorang.

"Pada masa kini, terdapat banyak aplikasi kecergasan percuma dan video senaman dalam talian. Prudential Just Run adalah inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan kebiasaan bersenam secara teratur agar tetap aktif dan sihat dan menggunakan Strava, iaitu aplikasi kecergasan percuma.

"Kerana ia merupakan cabaran maya, anda boleh menyertainya di mana-mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

"Dengan membuat perubahan kecil dan pintar kepada gaya hidup harian anda, ia akan menjadi lestari dalam jangka masa panjang," katanya di semasa ditemui di sini, hari ini.

Jelas Eric, sebaik sahaja mendaftar, peserta dapat memulakan senaman dan akan menerima jersi perlumbaan, lencana pencapaian, sijil dan jersi finisher jika mereka melengkapkan 200 kilometer dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kami telah menganjurkan beberapa aktiviti di Sunway Velocity Mall untuk meningkatkan lebih banyak kesedaran mengenai gaya hidup yang sihat.

"Seperti yang anda lihat di sekeliling saya, kami mempunyai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma dan banyak permainan serta aktiviti menarik di mana peserta boleh menebus hadiah.

"Pada akhir nanti, matlamat kami adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan kebiasaan bersenam untuk kekal aktif dan sihat. Kami berada di sini sehingga Ahad. Semua orang dialu-alukan untuk menyertai kami di sini," jelasnya.

Mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya 40 peratus rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan mempunyai tabiat bersenam.