Karya puisi SM Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir Syed Othman Al-Yahya akan diraikan dalam acara 'Malam Puisi SM Zakir' yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Mei ini pada jam 8 malam di Dewan Wisma Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Majlis anjuran ITBM itu mendapat kerjasama daripada Universiti Sains Islam Malaysia USIM, Tanah Licin Sdn Bhd dan Galeri Seni Morne sebagai tanda penghargaan terhadap beliau selaku antara sasterawan yang telah banyak menabur jasa dalam dunia kesusasteraan negara.

Antara yang bakal menyampaikan puisi bertajuk 'Puisi Perjalanan Sang Zaman' tersebut termasuklah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, artis tempatan dan penggiat seni tanah air yang lain.

"Buku itu betul menyatakan diri saya, di mana diri saya berada dalam zaman dan menerima fikiran-fikiran yang telah diberikan oleh sejarah dan sebagainya. Jadi itu yang saya luahkan. Tetapi saya tentunya tidak dapat menilai bagaimana karya saya.

SM Zakir dalam bukunya itu menukilkan 45 perjalanan dan tiga epilog yang menerangkan mengenai ilmu falsafah merangkumi falsafah Barat dan Timur.