Jika Perlis terkenal dengan mangga harum manisnya, di Pulau Pinang pula keenakan durian Balik Pulau menjadi dambaan para penggemar raja buah itu saban tahun.

Musim durian yang bermula sejak Mei menukar suasana Balik Pulau kepada pesta buah, apabila orang ramai khususnya dari luar negeri itu berkunjung ke sana untuk mendapatkan durian yang disifatkan mempunyai kualiti terbaik di daerah barat daya Pulau Mutiara.

Pondok sementara dan kanopi menjual durian di sepanjang jalan utama, adalah pemandangan biasa yang boleh dilihat sepanjang pesta durian ini.

Seorang peniaga durian, Ayob Saidin, 47, berkata, pelbagai jenis durian boleh didapati dengan pelbagai harga.

"Macam-macam jenis durian boleh didapati, macam-macam gred, D2, D14, D600, D700, semuanya mempunyai rasa dan kualiti yang tersendiri," jelas Ayob.

Harga durian Balik Pulau bermula dari serendah RM10 sekilogram bagi durian kampung sehingga yang paling mahal RM65 sekilogram bagi jenis Musang King.

Keistimewaan durian Balik Pulau turut menggamit kehadiran penggemar dari luar Pulau Pinang.
Menurut Ayob, penjualan durian bagi tahun ini agak memberangsangkan berbanding tahun lalu ekoran lambakan durian dari Thailand yang dibawa masuk sebulan lebih awal sebelum durian Balik Pulau mengeluarkan hasil.

Musim durian kali ini juga lebih panjang akibat fenomena El Nino, yang menyebabkan pokok mengeluarkan bunga dan putik buah lebih lama.

"Kami jangkakan musim durian dari bulan Mei sehingga bulan Julai dan Ogos, tetapi durian berbuah secara berperingkat," kata Ayob.

Keistimewaan durian Balik Pulau turut menggamit kehadiran penggemar dari luar Pulau Pinang.

Antaranya, Ghazali Mohd Haniff, yang sanggup memandu jauh dari Perak, semata-mata kerana mahu menikmati durian berkualiti yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

"Saya datang ke Balik Pulau semata-mata untuk makan durian sebab setahun sekali baru dapat merasa makan durian, tahun ini kita nampak macam pesta," ujar Ghazali.

Sementara itu seorang lagi pengunjung Lai Wei Hong menyifatkan durian Balik Pulau jadi tumpuan kerana penjenamaan yang diberikan serta promosi meluas hingga membolehkannya disifatkan lebih bernilai berbanding durian di kawasan lain.