Kementerian Kesihatan hari ini menyeru rakyat di negara ini agar menyertai Kumpulan Sokongan Hepatitis dalam usaha melahirkan kesedaran terhadap penyakit itu yang dilihat sebagai antara ancaman kesihatan utama bagi rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini tahap kesedaran mengenai penyakit hepatitis dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan ramai yang tidak sedar mereka mungkin telah dijangkiti.

"Sekarang hanya ada 78 anggota (dalam kumpulan ini) dan saya berharap angka ini akan meningkat," katanya pada 'Walk-A-Run Hepatitis 2017' yang dianjurkan bersempena Hari Hepatitis Sedunia, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mendedahkan kira-kira 500,000 rakyat Malaysia menghidap Hepatitis C dan kebanyakan mereka tidak menyedarinya.

Dr Subramaniam turut dilaporkan berkata kadar jangkitan Hepatitis C meningkat daripada 3.71 peratus pada 2009 kepada 8.57 peratus tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham percaya negara ini dapat menghapuskan sepenuhnya penyakit hepatitis menjelang 2030, seiring dengan Strategi Sektor Kesihatan Global mengenai Hepatitis Viral Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"(Kos) pencegahan penyakit ini juga lebih murah berbanding merawatnya, dan vaksin untuk hepatitis B boleh membantu mencegah hepatitis C," katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mencari kaedah merendahkan kos rawatan hepatitis C menjelang akhir tahun ini.

Pada masa ini kos rawatan hepatitis C ialah US$80,000 (RM342,632) dan kerajaan berharap dapat menurunkannya sebanyak US$300 (RM1,284.87).

Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun bertujuan mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang penyakit itu serta menggalakkan semua pihak berkaitan untuk mengambil tindakan.

Kira-kira 1,000 orang menyertai program 'Walk-A-Ri=un Hepatitis 207' yang dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Hepatitis dan Hospital Selayang itu.

-- BERNAMA