Sebuah kajian mendapati rakyat Singapura antara yang berbelanja besar di rantau Asia Pasifik untuk Hari Valentine, atau Hari Kekasih, yang disambut pada 14 Feb.

Lapor portal Today Online, kajian kendalian MasterCard mendapati rakyat Singapura berbelanja (secara purata) RM781.87 untuk Hari Valentine.

Hong Kong menduduki tempat pertama dimana penduduk tempatan secara amnya berbelanja sebanyak RM1,004.83 dan China di tempat kedua dengan RM987.

Sementara itu, kajian ini turut melaporkan bahawa rakyat Asia lebih memilih untuk berbelanja untuk "pengalaman" seperti makan di restoran mewah berbanding membeli bunga atau kad.

Kajian MasterCard Love Index dilakukan setelah mengambil kira tingkah laku pengguna di 200 negara dan penggunaan kad kredit, debit dan prabayar pengguna pada tahun 2013, 2014 dan 2015.

Ia turut melaporkan untuk Hari Valentine, pengguna lebih memilih untuk ke kedai dan memilih sendiri hadiah untuk pasangan mereka berbanding dengan pembelian atas talian.