SEMINGGU selepas Malaysia melalui peristiwa paling gempar dalam sejarah pilihan raya sejak detik kemerdekaan, masih ramai rakyat negara ini yang terus terbawa-bawa perasaan.

Sama ada berada di pihak yang menang atau yang kalah, harus diakui bahawa sebilangan besar daripada kita semua masih dibelenggu emosi yang pelbagai.

Marah, sedih, bangga, megah, kagum, gembira, puas, dendam mahupun benci - setiap spektrum rasa itu terpancar, bertembung dan bercampur-baur.

Setiap satunya kini diungkapkan secara terbuka, namun apabila tidak dizahirkan secara berpada-pada dan berjaga-jaga, pastinya akan membelakangkan etika dan tertib dalam hidup bermasyarakat.

Dalam keadaan masyarakat kita masih larut dalam kehangatan berpolitik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apakah agaknya kelebihan Ramadan kali ini dari segi pengajaran dan hikmahnya kepada umat Islam Malaysia keseluruhannya?

Solat Sunat Terawih hanya dijalankan pada waktu selepas Isyak sepanjang 30 hari bulan Ramadhan

Persoalan tersebut diajukan kepada pendakwah muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, yang antara lain kembali mengingatkan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar diisi dengan ritual ibadat.

Beliau mengharapkan bulan suci ini dijadikan medan untuk bermuhasabah diri bagi setiap masyarakat termasuklah parti politik yang kalah mahupun yang menang.

“Bagi parti yang menang pada PRU14, mereka juga perlu bermuhasabah dan bukannya mendabik dada atas kemenangan tersebut.

“Kita juga perlu lupakan perbezaan ideologi politik tetapi mengutamakan perkara yang boleh boleh menyatukan masyarakat untuk bersama duduk dan berbincang,” katanya lagi.

Ideologi politik perlu diketepikan dan menyambut bulan Ramadhan dengan harmoni.

Dalam pada itu, menurut MUhammad Asyraf, bulan Ramadan juga merupakan bulan yang dipenuhi kisah-kisah sejarah agung dalam Islam.

Setiap satunya membawa pengajaran dan teladan tersendiri.

“Sebagai contoh, perang Badar dan pembukaan Kota Suci Mekah berlaku pada bulan Ramadan. Tetapi Nabi Muhammad SAW masih boleh mengamalkan ibadat lain seperti solat-solat sunat waktu malam, berpuasa, melakukan pelbagai kebaikan termasuklah bercakap perkara-perkara yang indah,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Muhammad Asyraf berkata, selepas kempen PRU14 berakhir, apa-apa sekatan yang bermotifkan politik perlu dihentikan.

Jelasnya, realiti hari ini memerlukan kita untuk menghormati pandangan yang berbeza tetapi tidak bermakna kita perlu menerima pandangan tersebut.

“Ayat Quran ada menjelaskan, kita digalakkan untuk menerima dan mendengar kepelbagaian pandangan tetapi bergantung kepada kita untuk memilih pandangan yang terbaik,” jelasnya.


"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah Az Zumar, Ayat 18).



HENTIKAN SENGKETA

Sementara itu, menurut Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Ustaz Kamaruddin Abdullah, bulan Ramadan merupakan bulan untuk menyucikan diri bagi setiap insan.

“Bulan Ramadan adalah bulan harapan, pengampunan, dan penyucian jiwa, minda, dan fikiran yang banyak bersangka buruk. Bulan ini kita perlu digunakan untuk membina semula keperibadian, keluarga, dan negara kita,” jelas beliau.

Selepas tamat kehangatan perayaan demokrasi pada 9 Mei lepas, bulan Ramadan perlu dijadikan medan untuk merapatkan saf.

Beliau berpesan, masjid-masjid seluruh Malaysia perlu berjiwa besar dalam menyambut kepelbagaian pandangan.

Selain itu, beliau menegaskan, sikap melabel seseorang ataupun parti politik perlu dihentikan.

Ajaran daripada Al-Quran mendidik umat manusia untuk bertoleransi dan mengamalkan kesederhanaan.

“Sebab itu Islam mengajar kita amalan wasatiyyah. Islam tidak suruh kita menjadi ganas malah Islam juga tidak menyuruh kita menjadi lemah, tetapi pilihlah pertengahan antaranya,” ujar beliau.

Memetik ayat al-Quran, beliau memberi pesanan kepada semua masyarakat untuk kembali kepada Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW jika terdapat perbezaan pendapat.


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali Imran, Ayat 103)