Kemunculan banyak restoran makanan Arab sekarang ini bagai satu fenomena bagi memenuhi selera masyarakat tempatan.

Makanan Arab khususnya paling popular nasi Arab, walaupun harganya agak mahal tetap dicari orang kerana keenakan dan menepati cita rasa.

Antara yang semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Kota Tinggi ialah Restoran Ali Baba, yang terletak di Taman Daiman Jaya, dekat sini.

Mula beroperasi sekitar Februari 2016, Pengurusnya Rohman Ahmad berkata Restoran Ali Baba menyediakan pelbagai sajian, bermula dengan pembuka selera hinggalah pencuci mulut.

"Kami menggunakan perkhidmatan cef yang berasal dari Mesir untuk memberikan cita rasa sebenar sajian Arab," kata beliau kepada Bernama di sini baru-baru ini.

"Dulu masyarakat kita hanya berpeluang merasai makanan Arab ketika menunaikan haji atau umrah di Makkah.

"Sekarang ini ia boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana semakin banyak restoran menawarkan sajian ini," kata Rohman.

Antara hidangan Arab yang cukup sinonim di restoran ini adalah nasi Mandy, Kabsah, Maqluba dan Bukhari sama ada pilihan ayam atau kambing, roti Arab dan pelbagai lagi.

"Kami juga menerima tempahan dan katering untuk pelbagai acara. Jika hidangan diminta untuk kumpulan yang ramai, makanan dihidang dalam dulang seperti tradisi orang Arab," katanya.

Dalam pada itu sebagai memberi pilihan kepada setiap pengunjung yang datang, restoran tersebut juga menyediakan masakan arabic seafood grilled, kofta beef, shawarma dan pizza.

Malah, Restoran Ali Baba juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti surau, wi-fi secara percuma, dewan seminar berhawa dingin dan sebagainya.

Restoran ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 11 pagi sehingga 10 malam. - BERNAMA