"ADA antara anak yatim tu, melekat saja dengan Aiman, mereka rindu ayah masing-masing."

Itu antara respon awal yang dikongsikan Nadia Rahmat selepas ditanya bagaimana penerimaan pelarian Syria di Gaziantep, Turki selepas mereka mengadakan majlis kenduri kahwin bersama suami, Aiman Amir di sana.





"Kebanyakan anak yatim di sini tidak sempat bermanja sepenuhnya bersama ayah mereka, akibat maut dalam perang yang kini memasuki tahun ke-8.

"Kerinduan itu seolah-olah terubat dan kami sangat gembira apabila melihat mereka tersenyum," katanya yang kini berada di sana untuk meneruskan Misi Musim Sejuk 2018, Malaysia Life Line For Syria.

BACA: Lebih bermakna, pasangan Malaysia ini buat kenduri kahwin bersama pelarian Syria

Majlis kenduri kahwin serta rewang diadakan di Bangunan Persatuan Ash Sham di Gaziantep dihadiri kira-kira 150 pelarian Syria yang terdiri daripada ibu tunggal serta anak yatim.

"Mereka sangat gembira.

"Ada antara ibu tunggal yang hadir memberitahu kami bahawa mereka jarang berkumpul beramai-ramai biarpun tinggal di bangunan sama.

"Waktu mereka berkumpul hanyalah Ramadan. Jadi, mereka sangat seronok.

"Mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan kami serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu mereka," jelas Nadia.

Tambah Nadia, walaupun bahasa menjadi penghalang kepada komunikasi, tetapi mereka tetap berusaha membantu biarpun hanya menggunakan bahasa tubuh.


Mereka rindu belaian ayah, Aiman jadi sasaran - Foto Nadia Rahmat


"Kami tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja, kerana kami diraikan, kata mereka.

"Paling menarik, mereka ajak menari, kerana ia tanda meraikan kegembiraan dan sebahagian daripada budaya orang Syria.

"Pengantin perempuan bersama kumpulan perempuan, manakala pengantin lelaki bersama kumpulan lelaki," jelasnya lagi.

Di sebalik kegembiraan itu, Nadia tetap percaya bahawa majlis kenduri kahwin yang diadakan ini merupakan sebahagian daripada usahanya bersama suami untuk membantu memulihkan trauma perang yang dihadapi pelarian yang ada di sana.

Ketika ini 500,000 warga Syria berlindung di Gaziantep.