Mengetengahkan sajian kuisin mesra halal Vietnam, jenama makanan Vietdekat pastinya menawarkan cita rasa unik kepada mereka yang gemar mencuba menu-menu baharu.

Pengurus Vietdekat Sdn. Bhd. (Vietdekat), Wilson Yeoh berkata, makanan jalanan (street food) Vietnam merupakan antara yang terbaik di rantau ASEAN dan terkenal dengan rasanya yang segar serta autentik.

“Vietdekat membawa maksud dekat dengan hati dan menerusi cawangan kami yang terletak di Cyberjaya, syarikat turut melatih cef tempatan untuk meningkatkan minat memasak mereka.

“Malah, kami turut yakin ia dapat membuka peluang kepada ramai golongan muda di Malaysia untuk memiliki perniagaan sendiri melalui konsep kios makanan,” katanya kepada Astro AWANI di sini.

Mì Quảng merupakan antara sajian pengenalan yang popular di Vietdekad.

Dalam pada itu, menurut Yeoh, Vietdekat adalah lebih daripada sebuah jenama makanan dan minuman kerana pihaknya percaya makanan merupakan medium dalam menyatukan semua orang serta dapat memberi kebahagian.

“Sebagai contoh peranan yang kami mainkan dalam memberi makanan kepada para barisan hadapan baru-baru ini. Mereka telah bekerja keras bagi menghadapi penularan wabak ketika ini dan wajar dihidangkan dengan sajian yang lazat,” ujarnya.

Menyahut seruan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menyalurkan bantuan makanan ketika tempoh pandemik COVID-19 ini, Vietdekat telah menyumbang sebanyak 1,400 pek makanan.

   Vietdekat menyalurkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan.

Sumbangan tersebut diagihkan kepada barisan hadapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertugas di KL Mansion selain penduduk-penduduk yang dikuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Malah, bagi menyokong kelangsungan pasaran tempatan, selain mengekalkan keaslian bahan yang dibawa terus dari Vietnam, Vietdekat mendapatkan bekalan barang segar termasuk daging, poltri, udang dan sayur-sayuran di pasar basah di Seri Kembangan, Selangor.