SEBUAH video yang memaparkan seekor ikan Flower Horn digoreng di dalam kuali, menjadi perkongsian yang tular di laman sosial sejak Rabu lalu.

Mungkin kerana ia tidak pernah dilakukan orang lain sebelum ini, tindakan pemilik akaun Facebook Saya Cakap, Muhammad Firdaus, menjadi tanda tanya netizen.

Selain video, Firdaus turut berkongsi beberapa keping gambar ikan tersebut yang telah siap digoreng.

Menerusi satu status yang dikemaskini hari ini, Firdaus memaklumkan ikan tersebut mempunyai rasa seperti ikan tilapia, dan bonjol di bahagian kepala ikan itu pula adalah lemak yang telah dibuang sebelum digoreng.

Menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen, kata Firdaus, dia tidak faham mengapa orang mengatakan ikan itu tidak boleh dimakan.

"Apa maksud anda, tidak boleh makan? Ia ikan, sejenis makanan.

"Walaupun rupanya cantik dan nampak mewah, tak bermakna ia tidak boleh dimakan," tulis Firdaus.


Sehingga kini, video ikan itu yang sedang digoreng sudah menerima lebih sejuta tontonan.