Rakyat Sarawak menyambut baik pencalonan Songket Keringkam Sarawak untuk mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Representative List Convention 2003.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pencalonan itu adalah inisiatif Jabatan Warisan Negara dan dibantu oleh Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia, Kuching.

"Kerajaan negeri melihat Songket Keringkam adalah sebahagian daripada warisan Sarawak yang mempunyai sejarah turun temurun daripada masyarakat setempat," katanya ketika ditemubual oleh pihak Jabatan Warisan Negara di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini baru-baru ini.

Temubual itu adalah bagi mendapatkan input mengenai Songket Keringkam Sarawak untuk dibawa ke pencalonan berkenaan.

Beliau berkata songket dan keringkam berpotensi untuk mendapat pengiktirafan dunia kerana nilai-nilai seni budaya yang dipaparkan dalam songket keringkam berkenaan mempunyai impak yang sangat tinggi kepada masyarakat setempat.

Bagi tujuan itu katanya kerajaan negeri komited untuk membantu masyarakat dan industri Songket Keringkam Sarawak untuk terus maju dan diperkenalkan serta dipromosi ke peringkat tempatan serta ke luar negara.

Abang Johari berkata melalui jawatankuasa yang ditubuhkan, kerajaan negeri bersedia untuk menyuntik dana bagi memajukan industri songket di samping memperkenalkan motif-motif dan juga reka bentuk songket yang mempunyai ciri-ciri pribumi.

Songket Keringkam Sarawak, yang juga mempunyai ciri-ciri yang berlainan corak daripada negeri-negeri lain, akan dibangunkan melalui latihan dan kemahiran songket kepada penggiat-penggiat Songket Keringkam tempatan dan anak-anak Sarawak yang berminat untuk berkecimpung dalam industri tersebut, katanya.

Langkah itu melibatkan kerjasama Centre of Technical Excellence (CENTEXS) dan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institut Perguruan kampus Tun Abd Razak Samarahan, bagi menyediakan latihan kepada komuniti dan pengusaha songket Sarawak.

-- BERNAMA