Setiap satu daripada empat rakyat Terengganu mempunyai masalah kesihatan mental ekoran pelbagai faktor penyumbang, antaranya masalah kewangan, penceraian, krisis keluarga, stres kerja dan penyakit kronik.

Exco Kesihatan negeri, Roslee Daud berkata kesihatan mental tidak boleh dipandang remeh memandangkan statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan 95,293 orang menghadapi masalah tersebut di negeri ini.

Beliau berkata persepsi awam mengaitkan kesihatan mental dengan gila tetapi masalah itu bukan terjurus kepada penyakit itu semata-mata malah ia melibatkan perubahan emosi, kemurungan, pemikiran serta tingkah laku sehingga menjejaskan aktiviti harian seseorang itu.

"Kita menyeru agar ahli keluarga dan penjaga individu yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Hari Kesihatan Mental Sedunia 2016 Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar.

Sementara itu, Dr Mohammad berkata orang ramai boleh melakukan saringan awal dan rehabilitasi psikososial atau rawatan di semua hospital, klinik kesihatan termasuk di Unit Pakar Kesihatan Mental Masyarakat (PKMM) di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan Klinik Kesihatan Marang.

Katanya sejak unit PKMM ditubuhkan di dua klinik berkenaan sejak tiga tahun lepas, sejumlah 40 peratus daripada 702 pesakit yang menerima rawatan di kedua-dua PKMM itu telah kembali semula bekerja.

Menurutnya, Unit PKMM mengamalkan dasar pintu terbuka dengan sesiapa sahaja yang mengalami masalah kesihatan mental boleh mendapat rawatan tanpa temu janji.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri bercadang memperluaskan kemudahan Unit PKMM di daerah lain termasuk Kemaman dan Dungun. -- BERNAMA