USAH alpa dengan ujian sihat, sebelum ujian sakit datang menyapa.

Diabetes, atau kencing manis, memang tak asing lagi di Malaysia. Malah menerusi satu kajian yang dilakukan pada tahun 2011, dianggarkan lebih daripada 3 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes.


Kredit: Shutterstock

Jumlah itu cukup besar dan jika tidak dikawal, pastinya akan membawa kepada peningkatan statistik dengan drastik. Lebih membimbangkan, diabetes antara faktor utama penyakit jantung dan angin ahmar.

Diabetes bukan penyakit orang dewasa semata-mata kerana kanak-kanak tidak terkecuali menghidap penyakit ini jika pemakanan mereka tidak dikawal. Tetapi kebiasaannya penyakit ini dihidapi golongan berumur 35 tahun dan ke atas yang mempunyai berat badan berlebihan.


Kredit: Shutterstock

Sejarah keluarga yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol atau tabiat pemakanan yang menjurus kepada manis serta tinggi lemak turut menyumbang kepada penyakit ini.

Disahkan Diabetes Pada Usia 29 Tahun


Kredit: Puan Kalsom Zakaria

Puan Kalsom Zakaria dikesan menghidap penyakit diabetes tahun 2012 ketika berusia 29 tahun. Ketika itu dia sedang mengandungkan anak sulung dengan usia kandungan enam bulan.

“Pada mulanya saya anggap keputusan itu normal buat ibu mengandung tetapi apabila bacaan gula dalam darah tidak berubah selepas bersalin, saya mula rasa tak sedap hati.

"Melihat pada bacaan gula yang tinggi, doktor anggar saya telah mempunyai diabetes sebelum mengandung lagi iaitu ketika berusia 28 tahun,”ujar Puan Kalsom.

Ditanya tentang kesan diabetes dalam hidupnya, ini jawapan Puan Kalsom:

“Selain penyusutan berat badan dan penglihatan yang semakin kabur serta kesukaran fokus untuk tempoh masa lama, saya kini bergantung dengan pil kencing manis.

"Sepanjang mengandung anak kedua dan ketiga pula saya perlu menyuntik insulin di bahagian perut. Awalnya memang takut tetapi saya tiada pilihan,"

Selain sejarah ahli keluarganya yang mempunyai diabetes, Puan Kalsom mengakui penyakit ini berkemungkin disebabkan ubat-ubatan yang diambil bagi merawat penyakit PCOS yang dihadapi ketika bujang.

Pelakon Veteran Datin Normala Omar Hilang Penglihatan Kiri

A post shared by norzizi zulkifli (@norzizizulkifli) on



Berbeza dengan Pelakon Datin Normala Omar, pelakon veteran yang pernah membintangi filem Sesejuk Air Mata Ibu dan Serampang Tiga ini mengalami masalah penglihatan mata kanan dan mata kiri yang langsung tidak dapat melihat akibat komplikasi kencing manis pada tahun 2010 sehingga menyebabkan pendarahan pada matanya.

Isteri kepada pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain dan ibu kepada lima orang anak termasuk Norzizi Zulkifli ini bukan sahaja menghidap kencing manis, tetapi turut mengidap darah tinggi sejak usianya mencecah 40 tahun.



Diabetes boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk makan makanan berkhasiat, senaman serta memastikan berat badan unggul dan terkawal. Banyak lagi info yang boleh anda ketahui di laman web MyHealth.

Sementara itu, uji pengetahuan anda tentang aspek kesihatan melalui kuiz yang dianjurkan Myhealth untuk peluang memenangi hadiah menarik. Klik di sini untuk maklumat lanjut.