Mereka yang berhasrat untuk menyelamatkan kucing jalanan diminta agar berhubung dengan organisasi yang bertauliah sebelum berbuat demikian, terutama sekali jika tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

Pengerusi Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, biarpun dia menyambut baik niat murni golongan ini, namun apa yang lebih penting adalah memastikan kebajikan kucing-kucing yang diselamatkan terjaga.

"Tak adil untuk salahkan individu itu seratus peratus. Sebagai pencinta kucing, saya faham dan saya rasa dia mempunyai niat yang baik.

"Cuma saya sedikit kesal kerana dia tidak menggunakan saluran yang betul. Ini kerana jika dia mengikut sistem yang disediakan, banyak pihak boleh membantunya dari awal," kata Khalid.

Khalid mengulas isu 'neraka kucing' seperti yang dibongkar sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, dimana seorang individu dipercayai mempergunakan kucing-kucing yang diselamatkan untuk meminta wang dari orang ramai.

Kata Khalid, selain Kelab Kucing Malaysia, ada organisasi lain yang sedia menghulurkan bantuan, antaranya SPCA.

"Dalam semua acara yang kami anjurkan, akan ada program adoption, dimana kami akan buka penyertaan baik dari individu atau pusat perlindungan yang berdaftar untuk membawa kucing-kucing mereka untuk proses adoption.

"Memang sedikit leceh kerana banyak perkara seperti dokumen-dokumen tertentu yang perlu disediakan, tapi sekurang-kurangnya ia boleh membantu dan individu itu tidak perlu melalui jalan yang sukar untuk mendapatkan sumber kewangan," tambahnya.

Khalid ditemui pada acara Pertunjukan Kucing Amal sempena Hari Haiwan Sedunia di pusat beli belah Wangsa Walk di sini hari ini.

Acara yang berlnagsung sejak semalam itu menyaksikan pelbagai haiwan peliharaan dipertontonkan untuk tujuan membuat kutipan amal bagi membantu pusat perlindungan haiwan dan rumah anak-anak yatim.