SEPANJANG Oktober dan November nanti, Segaris Art Center sebuah anak syarikat UiTM Holdings bakal terlibat dengan beberapa pameran seni tampak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Center, Nizam Rahmat Segaris bakal terlibat dengan pameran bertemakan masjid-masjid di Selangor.

Nizam menjelaskan pameran bertemakan masjid-masjid di Selangor ini merupakan ilham daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ia sesuatu yang menarik kerana dia bukan setakat bangunan masjid itu sendiri, kita juga buka sedikit luas dalam tema masjid ni.

"Ada aktiviti di masjid, interior dan exterior dan juga elemen-elemen masjid yang akan diketengahkan oleh para artis termasuklah aktiviti yang akan berlaku kat masjid itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI.

Karya-karya artis terkemuka ditampilkan dalam pameran yang akan berlangsung selama dua minggu di White Box, Publika bermula 28 Oktober hingga 10 November.

"Karya-karya masjid ini kami bawa dari artis yang senior seperti pelukis diraja, Datuk Azman Yusuf, Maamor Jantan, kita ada Raja Azhar, yang berbangsa lain pun ada, kita ada Stephen Menon," katanya lagi.

Pameran yang memaparkan 74 karya bertemakan masjid ini akan dilancarkan sendiri oleh Sultan Selangor sendiri pada 2 November nanti.

Selain menganjurkan pameran bertemakan masjid, Segaris Art Center juga akan terlibat dalam Art Expo Malaysia 2019 yang akan diadakan di Matrade Exhibition and Convention Centre (MECC) Kuala Lumpur.

Art Expo Malaysia (AEM) merupakan salah satu pameran seni antarabangsa yang paling berprestij di Asia Tenggara dan ia telah menjadi daya pemangkin dalam memajukan industri seni ke hadapan dan menentukan piawaian untuk pensyarah seni curated.

Selepas Art Expo, Segaris Art Center akan menganjurkan pameran solo pelukis terkenal Ahmad Shukri Mohamed tanggal 15 Oktober nanti.