Sektor pelancongan Semporna berada di landasan terbaik apabila mencatat jumlah kedatangan pelancong yang meningkat sehingga melebihi 100 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2015.

Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bullah berkata purata kemasukan pelancong setiap hari ke daerah ini pada tahun lepas merekodkan 800 orang sehari iaitu lebih 222,000 pelancong pada 2016 berbanding 112,000 pada tahun 2015.

Katanya kemasukan pelancong bermula Januari hingga Mac tahun ini pula merekodkan 71,961 orang dengan 80 peratus daripadanya merupakan pengunjung dari negara China.

"Dalam awal bulan Mac sahaja kehadiran pelancong mencecah 1,000 orang sehari yang mana hotel dan penginapan resort juga habis ditempah seawal dua atau tiga bulan sebelum pesta Regatta Lepa," katanya pada sambutan Regatta Lepa kali ke-24 di sini.

Chacho, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Regatta Lepa, berkata daerah Semporna turut dikenali sebagai hab pelancongan berikutan terdapat pelancong yang melakukan kunjungan berulang ke daerah ini kerana tertarik dengan keindahan pulau dan hidupan marin serta budaya masyarakat.

Terdahulu, beliau berkata pesta Regatta Lepa memain peranan penting sebagai penyumbang kepada aspek ekonomi tempatan melalui peluang berniaga di gerai yang diurus tadbir oleh Majlis Daerah Semporna.

"Regatta Lepa membantu meningkatkan dan menambah pendapatan penduduk setempat dan dari sudut sosial dan masyarakat, pesta ini menjadi pengukuhan pemerkasaan kesatuan bangsa," katanya.

-- BERNAMA