Anak panda gergasi pertama Malaysia, Nuan Nuan yang kini berusia dua tahun akan diserah balik kepada kerajaan China pada 14 November ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Haji Wan Junaidi berkata, Nuan Nuan akan dihantar ke tempat kelahiran ibu bapanya iaitu Pengkalan Panda Dujiangyan di Sichuan.

BACA: Liang Liang sambut hari lahir di Zoo Negara

“Penyerahan balik anak panda gergasi ini adalah mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan China di mana anak gergasi panda yang dilahirkan di Malaysia perlu diserah balik kepada China apabila ia berusia dua tahun.

“Daripada sudut konservasi adalah amat baik kerana sifat biologi semula jadi ibu panda gergasi yang memisahkan diri dengan anaknya sebaik sahaja anak panda mencecah usia matang pada umur dua tahun,” kata beliau dalam siding media majlis penyerahan anak gergasi panda pada petang ini.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pasangan-panda-gergasi-mungkin-akan-dibiar-mengawan-buat-kali-kedua-zoo-negara-153230

Nuan Nuan yang memiliki berat 82kg merupakan panda pertama yang dilahirkan di luar China dan anak kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun oleh kerajaan China.

BACA: Pasangan panda gergasi mungkin akan dibiar mengawan buat kali kedua - Zoo Negara

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli dan beliau mengatakan bahawa Nuan Nuan sedang menjalani latihan bagi memudahkan proses penghantarannya ke China melalui perkhidmatan MASKargo.

“Kami telah mengasingkan Nuan Nuan dengan ibunya secara berperingkat-peringkat supaya anak panda itu mampu hidup berdikari selepas ini,” katanya.

Dr Mat Naim turut melahirkan rasa sedih kerana beliau sudah menganggap Nuan Nuan sebagai anaknya sendiri.

Orang ramai masih berpeluang menyaksikan gelagat anak panda betina ini di Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara setiap hujung minggu dan kelepasan am sehingga 12 Novemmber.