Setuju papar wajah perokok tegar di skrin besar stadium - Syed Saddiq

Setuju papar wajah perokok tegar di skrin besar stadium - Syed Saddiq
Antara individu yang dirakam merokok di dalam stadium. - Twitter @azraeimuhamad/StadiumMalaysia
DALAM keriuhan sorakan penonton yang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang dirakam merokok di kawasan tempat duduk.

Aksi mereka seolah-olah tidak mengendahkan arahan dan polisi kawasan stadium yang merupakan kawasan larangan merokok.
Gambar individu-individu ini ditularkan di laman sosial dan turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Membalas satu komen di Twitter, Syed Saddiq bersetuju mengkaji cadangan memaparkan wajah perokok di skrin besar stadium, selain pengumuman secara besar-besaran untuk mengelakkan perkara itu berulang.


"Tolong hormati hak orang lain untuk tidak mati awal kerana second hand smoke," tulisnya.

Second hand smoke, atau terma lain yang biasa digunakan ialah secondary smoke, ialah asap rokok yang dihidu oleh mereka yang berada berdekatan dengan perokok. 

Risiko secondary smoke disifatkan sama berbahaya dengan asap rokok yang disedut oleh perokok sendiri, malah berisiko menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak dan wanita hamil.