PENJUAL teh Pakistan yang menempa populariti selepas gambarnya viral di laman sosial minggu lalu, terus mendapat perhatian masyarakat.

Kali ini, si penjual teh itu, Arshad Khan, dijemput menjadi tetamu rancangan bual bicara pagi, Good Morning Pakistan, Selasa lalu.

Dalam rancangan itu, Arshad bukan sahaja menjawab beberapa soalan tentang dirinya, malah turut dirapikan dan dipersiapkan secara langsung menerusi kaca televisyen.

Dia yang dipakaikan sut lengkap, kemudiannya tampil ala peragawan sedang membuat peragaan bersama dua personaliti saluran televisyen ARY.


Arshad sebelum ini telah memperaga untuk jenama pakaian butik atas talian, Fitin.pk.

Penampilan baharu itu membuatkan lelaki berusia 18 tahun itu semakin popular di Pakistan, malah menjadi kegilaan gadis-gadis remaja.

BACA: Penjual teh Pakistan tolak tawaran berlakon, baru sedar dia tampan

Arshad yang memiliki sepasang mata biru kehijauan, menjadi sensasi media sosial selepas gambarnya sedang bekerja di warungnya, dimuat naik seorang pengguna Instagram, tersebar dan dikongsi oleh puluhan ribu pengguna lain.