MODEL terbaharu keluaran Apple, iPhone X dinobatkan sebagai telefon pintar paling popular bagi suku pertama 2018.

Laporan yang dikeluarkan oleh agensi kajian pemasaran, Strategy Analytics, menunjukkan iPhone X mencapai jualan 16 juta unit dari Januari sehingga Mac tahun ini, sekaligus menolak tanggapan banyak pihak bahawa jualan model itu tidak memberangsangkan.

Bukan itu sahaja, Apple juga memonopoli tempat kedua dan ketiga dalam senarai telefon pintar paling popular, apabila posisi itu diisi oleh iPhone 8 dan iPhone 8 Plus, yang masing-masing mencapai jualan 12.5 juta dan 8.3 juta unit.

"Reka bentuk yang cantik, kamera yang canggih serta pelbagai aplikasi menjadikan iPhone X model telefon pintar paling popular di seluruh dunia, " kata penganalisis kanan Strategy Analytics, Juha Winter, dalam satu kenyataan.

Apple sehingga kini telah berjaya menjual hampir 50 juta unit iPhone X sejak pelancarannya pada November 2017.

Pemerhati pasaran sebelum ini meluahkan kebimbangan dengan tahap jualan iPhone X, bukan sahaja kerana persaingan dengan jenama lain, tetapi juga harganya yang tinggi jika dibandingkan dengan model Apple sebelum ini.

Turut berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 5 telefon pintar paling popular ialah Xiaomi Redmi 5A dan Samsung Galaxy S9 Plus, yang berada di kedudukan keempat dan kelima.

Anda teruja?