Songket Malaysia antara barangan pameran yang bakal diketengahkan di Muzium Kesenian Asia Guimet,(France Musee Des Arts Asiatiques Guimet), berikutan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara muzium itu dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Bercakap kepada wartawan di sini pada Selasa, Ketua Jabatan Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Dr Heba Nayel Barakat berkata MoU ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua kerajaan dan mencipta lebih peluang untuk pertukaran budaya.

Perkongsian ini juga akan menyaksikan lebih banyak pameran dari Malaysia ke Perancis dan sebaliknya, katanya sambil menambah kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan sumber manusia dan antaranya pertukaran tenaga kerja untuk mempelajari mengenai kebudayaan.

"Menerusi perkongsian ini, orang Perancis akan mempunyai peluang untuk belajar kebudayaan Melayu," katanya sambil menambah Mou ini adalah penting kerana Malaysia menyasarkan untuk melangkah melepasi Asia dan ingin dikenali di seluruh dunia.

Heba berkata perkongsian itu bermula sebaik sahaja Mou itu ditandatangani, dan pameran akan dianjurkan di kedua-dua negara dalam tempoh dua tahun.

Terdapat juga sejumlah peruntukan untuk kerjasama ini, katanya.

Majlis menandatangani Mou antara kedua-dua muzium itu disaksikan oleh Presiden Perancis Francois Hollande.

Hollande, yang diiringi menteri-menterinya, anggota parlimen, pegawai-pegawai dan delegasi perniagaan meluangkan masa selama 30 minit melawat Muzium Kesenian Islam yang diasaskan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Beliau dalam lawatan negara selama dua hari di Malaysia bermula semalam dan ini merupakan sebahagian daripada lawatan sulungnya ke rantau ASEAN termasuk lawatan negara ke Singapura dan Indonesia.

Ia adalah lawatan kedua Presiden Perancis ke Malaysia selepas lawatan negara oleh Presiden Jacques Chirac pada Julai 2003.

-- BERNAMA