Syarikat kopi gergasi Amerika, Starbucks bakal membuka premis mereka di Itali.

Dalam kenyataan di laman web mereka Ahad lalu, cawangan pertama bakal dibuka di Milan pada tahun hadapan dengan kerjasama syarikat tempatan Percassi.

Keputusan ini dilihat simbolik terutama sekali bagi Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Howard Schultz yang mendapat idea untuk memulakan perniagaan kopi selepas melawat Milan lebih 30 tahun lalu.

Hari ini, Starbucks merupakan jenama kedai kopi paling berjaya di dunia dengan lebih 23 ribu premis di seluruh dunia.

Kemasukan Starbucks ke Itali dilihat mencabar memandangkan budaya kopi yang telah lama berakar umbi di negara itu. Warga Itali menikmati kopi secara pantas sambil berdiri di bar, berlawanan dengan gaya Starbucks yang menggalakkan pelanggan duduk dan berbual lama di premis yang lengkap dengan sofa dan kemudahan Internet.

“Sejarah Starbucks berkait rapat dengan cara orang Itali menyempurnakan secawan espresso,” ujar Schultz.

Dia juga menegaskan premis pertama di Milan akan dibina dengan teliti bagi menghormati budaya kopi orang Itali.