F&N (Fraser and Neave) Beverages Marketing Sdn Bhd dan McDonald's Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi kerjasama yang bakal menyajikan minuman isotonik, 100 Plus, di kesemua 261 cawangan McDonald's seluruh negara.

Perancangan bagi kerjasama strategik ini telah diusahakan sejak dua tahun lepas.

Selepas tempoh pengenalan empat bulan 100 Plus ke 10 cawangan McDonald's di pusat-pusat bandar utama Semenanjung Malaysia, keputusan tercapai untuk memeterai perjanjian berkenaan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata kerjasama dengan F&N adalah usaha yang menguntungkan.

"Di McDonald's, kami amat mengutamakan kehendak pelanggan dan sentiasa berusaha menambah baik menu untuk memenuhi keperluan mereka, seperti yang dilihat dalam memperkenalkan 100 Plus," kata Azmir.

Penawaran 100 Plus sebagai pilihan dalam portfolio minumannya yang luas tentunya menjadi tarikan buat lebih 160 juta pelanggan Malaysia yang mengunjungi rangkaian cawangannya setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holdings Berhad, Lim Yew Hoe yang turut hadir di majlis pelancaran tersebut juga menyuarakan kegembiraan dan keyakinannya terhadap kerjasama yang "saling menguntungkan" ini.

Status F&N dan McDonald's Malaysia sebagai minuman isotonik rasmi dan restoran rasmi bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan membolehkan kerjasama ini dimanfaatkan untuk membuat tawaran istimewa sepanjang temasya sukan tersebut.