MEMANG benar kucing juga boleh mengalami stress atau tekanan perasaan akibat perubahan cuaca yang mendadak.

Dalam satu temubual dengan Astro AWANI, pemilik Klinik Haiwan Jhan, Dr Nor Nazihan Ahmad Ruslan berkongsi pengalamannya apabila melihat kucing peliharaannya sendiri yang berlari tidak keruan dan cuba mencari tempat berlindung apabila mendengar guruh atau ternampak kilat.

“Kucing ini akan masuk ke sangkar masing-masing kerana haiwan ini mempunyai naluri bahawa fenomena alam itu berbahaya.”

Dr Nor Nazihan turut mengesa pemilik haiwan peliharaan untuk lebih peka dengan tahap kesihatan haiwan kesayangan mereka memandangkan cuaca buruk boleh menyebabkan daya ketahanan atau imunisasi badan haiwan menurun.

“Perubahan cuaca atau persekitaran secara mendadak pada jangka masa yang lama boleh menyebabkan imunisasi badan kucing boleh menurun lalu menyebabkan mereka mudah dijangkiti bermacam-macam penyakit seperti selsema dan kulat."

Sementara itu pengusaha pusat perlindungan haiwan di Pulau Pinang melaporkan banyak kucing di pusat perlindungan yang jatuh sakit terutamanya selepas negeri terbabit dilanda ribut hujung minggu lalu.

Pengasas Meowy Cat Shelter, Pauline Lim memberitahu kebanyakan kucing yang berada di premis beliau mengalami masalah selesema.

“Namun begitu, kami dapat mengawal keadaan dengan memberikan ubat-ubatan dan rawatan yang rapi,” kata Pauline kepada Astro AWANI.

Beliau juga memberitahu, ketika ribut kuat melanda, beliau sempat memindahkan semua kucing ke tempat yang lebih tinggi.

“Kucing selamat tetapi 50 peratus daripada makanan kucing musnah akibat banjir,” jelas Pauline.

[PUSH PAGI] Hanya 4 peratus rakyat Malaysia lindungi kenderaan daripada banjir 160081 [PUSH PAGI] Takut guruh dan kilat? Seperti manusia, kucing juga alami trauma 160082
Meowy Cat Shelter ialah sebuah pusat perlindungan khususnya untuk kucing yang cacat, cedera.

Ia beroperasi di Jalan Ayer Putih, Pulau Pinang.