Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort di sini akan ditutup selama dua bulan bagi membolehkan kerja-kerja menambah tarikan baharu dan penambahbaikan kawasan tersebut.

Ketua Operasi Kumpulan Resort, Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan berkata kerja-kerja itu dijalankan bermula Selasa hingga 30 Nov depan.

Katanya projek itu membabitkan pertambahan beberapa jenis gelongsor air baharu seperti Mini Tornado Slide dan Race Slides.

"Pada masa sama, kerja-kerja penambahbaikan turut dijalankan di dalam kawasan taman tema air berkenaan membabitkan pembaharuan di seluruh bahagian permainan kanak-kanak iaitu Kembara Rimba Air dan 'Perak Mining', " katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

'Beliau berharap projek itu bakal menjadi tarikan baharu bagi taman tema air tersebut yang sudah beroperasi sejak 21 untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.

"Kita juga bakal mengadakan tawaran hebat bermula dari hari pembukaan semula taman tema berkenaan dan berlanjutan dalam tempoh sebulan sebagai langkah mempromosikannya kepada orang ramai," katanya.

Mohamad Mukhriz berkata tarikan lain seperti penginapan di Kampung Air serta Laketown Hotel, Taman Eko (Ecopark), dan Pulau Orang Utan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penutupan itu.

--BERNAMA