SEBUAH kelab 'pencinta alam' di England dikecam kerana menawarkan sesi renang dalam keadaan berbogel kepada pelajarnya yang berusia 18 tahun ke bawah.

Memetik laporan Daily Mail, Ryedale Naturist Club dilabel 'syurga pedofil' oleh ibu bapa di media sosial kerana membenarkan kanak-kanak berenang bersama orang dewasa tanpa sebarang pakaian.

Difahamkan sesi itu renang diadakan di kelab renang Derwent di Malton, Yorkshire Utara.

Ibu bapa yang bimbang dengan perkara itu meluahkan kemarahan mereka di Facebook, sambil menyifatkan tindakan itu 'salah dan menjijikan'.

"Saya tidak setuju kanak-kanak pergi (ke situ)... tempat itu ibarat syurga untuk golongan pedofil," tulis seorang pengguna Facebook, Louise Heminsley.

Seorang lagi pengguna media sosial, Nicola O'Conner pula menyifatkan tindakan itu salah kerana membiarkan remaja dan kanak-kanak bawah umur melihat orang lain berbogel.

"Saya tidak mahu melihatnya... ia jijik. Apa sudah jadi dengan dunia ini? Ia salah dan menjijikan. Siapa yang menganjurkan kelas ini patut dilaporkan (kepada polis)," tulisnya lagi.

Rata-rata ibu bapa yang menyuarakan pandangan mereka berpendapat, kelab itu harus ditutup kerana ia 'kotor' dan menggalakkan aktiviti tidak sihat, serta boleh mengundang golongan pedofil.

Bagaimanapun, kelab tersebut dalam satu kenyataan berkata, tindakan mereka tidak salah kerana kononnya tidak ada perkara yang seksual mengenai aktiviti 'pencinta alam' yang dianjurkan itu.

Menurut mereka, sesi renang itu diadakan dalam keadaan tertutup.

Kata kelab itu lagi, pengunjung perlu membawa kad pengenalan pada setiap sesi dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah dibenarkan berenang tanpa pakaian renang, tetapi mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga pada setiap masa.

"Sesi renang kami sama seperti sesi renang lain cuma kami tidak mengenakan baju renang. Tiada sebarang aktiviti seks, kerana itu bukan amalan 'pencinta alam'.

"Jika anda cari benda yang lain selain aktiviti renang, anda akan kecewa... carilah di tempat lain. Tempat ini selamat dan mesra alam dan anda boleh berenang bersama keluarga tanpa perlu risaukan apa-apa," kata pemilik kelab itu lagi.