PUSINGAN akhir kejohanan e-sukan Dota 2 The International 7 (TI7) pada pagi tadi menyaksikan kumpulan Team Liquid muncul sebagai juara, selepas membenam pasukan lawan Newbee, 3-0.

Kejuaraan yang diungguli itu turut memberi habuan besar kepada Team Liquid apabila mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM46 juta, manakala Newbee selaku pemenang tempat kedua membawa pulang RM16 juta.

Team Liquid terdiri daripada pemain Eropah, iaitu Kuro Salehi Takhasomi (KuroKy), Lasse Urpalainen (MATUMBAMAN) Amer Al-Barkawi (Miracle-) Ivan Borislavov Ivanov (MinD_ContRoL) dan Maroun Merhej (GH).

Akaun media sosial pemain-pemain kumpulan berkenaan turut dilimpahi dengan ucapan tahniah peminat, susulan kememangan bergaya mereka dalam pusingan akhir TI7.


TI7 yang berlangsung di Seattle, Amerika Syarikat sejak 7 Ogos lalu itu merupakan kejohanan tahunan Dota 2 edisi ketujuh anjuran Valve, sebagai pembangun e-sukan popular tersebut.

Valve turut menyatakan seramai 4.7 juta penonton di seluruh dunia menonton pusingan akhir TI7 menerusi platform pestriman langsung lapor portal Polygon.

TI7 turut mencatat sejarah tersendiri dengan rekod wang terkumpul melebih RM103.1 juta berbanding RM75 juta pada tahun lepas.