‘Sky is not the limit'

Itulah inspirasi saya dalam memastikan wanita bertudung terus berusaha mengejar impian mereka.

Perjumpaan sempena World Hijab Day itu mampu memberikan inspirasi kepada golongan wanita yang bertudung untuk melangkah lebih jauh.

Dalam sesi bersama pengasas Roboticist, Ilylia Kamaruzaman, berjuang dalam industri yang didominasi lelaki antara yang paling mencabar tetapi mampu dilakukan mana-mana wanita.

"Wanita perlu mempunyai kesungguhan, kecekalan semangat juang yang tinggi bagi mencapai impian dan cita-cita yang diinginkan serta berhijab bukanlah penghalang untuk berjaya tetapi cabaran untuk kita pergi lebih jauh lagi," katanya dalam sesi pagi.

Salah seorang pemimpin daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Handshake People, Farhanah Francis, berkongsi kisahnya ketika di luar negara yang mempunyai penduduk Muslim minoriti, apabila sukar mendapat tempat dalam latihan industri kerana memakai tudung.

“Apabila mereka faham konsep hijab, mereka akan lebih terbuka menerima kita, kerana yang dilihat bukanlah daripada sudut rupa paras mahupun kecantikan luaran tetapi kemahiran serta pengetahuan yang boleh kita tawarkan pada mereka,” katanya.

Sempena dengan Tahun Memperkasa Wanita 2018, ia menjadi platform kepada golongan wanita berkongsi idea dan pemikiran untuk memajukan kaum wanita.

Pada masa sama, tutorial pemakaian tudung turut diadakan supaya kaum wanita kekal cantik dan kemas walaupun bertudung.
_______________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan AWANI Rangers Haryani Mohd Saleh

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.