BARU-BARU ini, kisah seorang lelaki dari Mumbai, India yang meninggalkan kerjaya untuk menjadi seorang pemandu teksi hanya untuk menyediakan perkhidmatan percuma menjadi tarikan netizen di media sosial.

Vijay Thakur yang pernah mempunyai pekerjaan di syarikat Larsen and Toubro dengan gaji sebanyak Rs 65,000 (RM4,000) sebulan, meninggalkan kerjayanya untuk menjadi seorang pemandu teksi dengan harapan dapat membantu orang ramai ketika kecemasan.

Menurut portal Humans of Bombay, Thakur yang berusia 74 tahun itu mengambil keputusan drastik itu pada malam isterinya mengalami keguguran kandungan kerana tidak dapat mencari perkhidmatan teksi yang sanggup membawa mereka ke hospital.

Sejak insiden itu, beliau bertekad untuk memberi satu penyelesaian kepada isu ini.

“Saya meninggalkan kerjaya saya sebagai jurutera di Larsen and Toubro dan mula memandu teksi - menawarkan perkhidmatan percuma kepada sesiapa yang perlu ke hospital,” katanya seperti dipetik dari Facebook Humans of Bombay.

"Pendapatan saya kini sebanyak Rs 10,000 (RM620) sebulan daripada penumpang, tetapi matlamat saya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira masa.”

Menurut Thakur, sesiapa yang mempunyai nombor telefonnya boleh menghubungi beliau walaupun pada pukul 3 pagi jika mereka memerlukan bantuan kecemasan.

Sebelum ini, Thakur pernah berhadapan dengan situasi dimana beliau menyelamatkan seorang wanita yang mengalami lecur yang teruk, yang menunggu beberapa jam untuk perkhidmatan teksi kerana ada pemandu yang tidak sanggup untuk membawanya ke hospital.

“Dia terselamat, dan kami adalah kawan baik sekarang. Dia sering mengucapkan terima kasih kepada saya atas bantuan saya,” kata Thakur.

Difahamkan, beliau juga pernah membantu mangsa ketika banjir teruk melanda Mumbai pada 26 Julai 2005 serta mangsa serangan keganasan Mumbai pada 26 November 2008.

“Saya percaya bukan semua berkaitan dengan duit. Pendapatan saya sebelum ini sebanyak Rs 65,000 tetapi saya tidak pernah lebih bahagia daripada hari ini.

“Saya berumur 74 tahun, boleh bertutur 11 bahasa, mempunyai anak-anak yang bekerja di firma-firma ekuiti persendirian dan mempunyai kelayakan untuk menjadi seorang jurutera yang maju.

“Tetapi keistimewaan hidup saya adalah sehingga hari ini saya pernah membawa lebih dari 500 kes kecemasan ke hospital dan sekurang-kurangnya cuba memberi mereka peluang untuk terus hidup.

’’Untuk itu, jika saya digelar sebagai pemandu teksi yang biasa - saya dengan senang hati menerima gelaran itu,’’ kata Thakur.

"My wife had suffered from a miscarriage, when one night she felt a sudden pain in her abdomen. At that time of the...

Posted by Humans of Bombay on