RAMADAN al–Mubarak menjelang tiba di mana umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia akan berpuasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Uniknya setiap kali bulan puasa ini, akan muncul jugalah bazar Ramadan. Kemunculan bazar jualan berbuka puasa ini banyak memberi manfaat kepada semua pihak sama ada pengunjung mahupun peniaga bazar itu sendiri.

Dengan adanya bazar Ramadan ini memudahkan lagi kalangan mereka yang tidak sempat pulang dan bergelut menyediakan juadah makanan dan minuman untuk berbuka puasa atau iftar.

Pembelian pelbagai jenis juadah di bazar Ramadan untuk iftar serta untuk penyediaan bagi waktu sahur diawal pagi dapat dapat menjimatkan masa dan tenaga masyarakat masa kini yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan.

Pada masa yang sama juga, bazar Ramadan ini dapat memberi ruang dan peluang kepada pihak–pihak tertentu untuk mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis aktiviti perniagaan.

Pelbagai jenis aktiviti perniagaan yang boleh dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini seperti dengan menjual juadah makanan serta minuman, pakaian, barangan dapur, dan lain–lain lagi.

Bagi memastikan bazar–bazar Ramadan ini kekal relevan dalam negara kita serta kekal di hati setiap anggota masyarakat adalah penting supaya semua pihak yang terlibat mengambil segala langkah yang perlu untuk menjayakan kemunculan bazar–bazar Ramadan ini.

Keutamaan perlu diberikan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan oleh semua pihak yang terlibat dengan bazar–bazar Ramadan sama ada pihak kerajaan, peniaga mahupun pihak pengunjung.

Pihak kerajaan harus memastikan setiap tapak bazar Ramadan berada di lokasi yang selamat dan sesuai untuk semua pihak yang terlibat sama ada pihak peniaga ataupun pihak pengunjung.

Pihak kerajaan tidak harus membenarkan penyediaan sebarang tapak bazar Ramadan di mana–mana lokasi yang boleh mengundang bahaya kepada pihak peniaga serta pihak pengunjung seperti di tepi jalan raya yang sesak dengan lalu lintas serta kawasan yang berhampiran dengan semak samun.

Pihak kerajaan juga harus memastikan aspek kebersihan di tapak bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa. Penjagaan aspek kebersihan ini amat penting terutamanya terhadap juadah makanan dan minuman yang dijual di dalam bazar Ramadan.

Kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu aktif melakukan proses pemantauan dan pemeriksaan mengejut di setiap tapak bazar Ramadan yang didirikan dalam negara kita sepanjangan bulan Ramadan al–Mubarak kelak.

Tindakan keras undang–undang perlu diambil terhadap mana–mana pihak yang gagal mematuhi segala jenis peruntukkan undang–undang mengenai aspek kebersihan ini seperti yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan–Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan–Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Peniaga juga harus mengambil tanggungjawab terhadap segala barangan dan perkhidmatan yang mereka jual kepada pihak pengguna di dalam bazar Ramadan.

Mereka perlu memastikan segala barangan dan perkhidmatan yang dijual mereka adalah berkualiti tinggi, bersih serta selamat untuk dibeli dan digunakan oleh semua pengguna.

Mereka tidak boleh mengamalkan sikap tamak serta mengutamakan proses keuntungan semata–mata ketika berniaga.

Peniaga perlu memastikan proses penjualan barangan dan perkhidmatan mereka mematuhi segala jenis peruntukan undang–undang yang ada dalam negara kita seperti Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan lain–lain lagi.

Peniaga juga harus memastikan mereka menjaga aspek kebersihan tapak peniagaan mereka di bazar Ramadan. Mereka tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa untuk melakukan aktiviti pembersihan tapak–tapak bazar Ramadan pada setiap masa.

Peniaga harus memberi kerjasama untuk menghantar segala sampah sarap ke tempat khas yang telah disediakan atau mengambil initiatif sendiri dengan menyediakan sebuah tempat khas bagi membuang segala jenis sampah sarap setelah selesai menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Mereka harus memastikan segala sampah sarap yang telah dihasilkan tidak menjadi tempat pembiakan binatang serta serangga berbahaya seperti tempat pembiakan nyamuk dan lalat, menjadi sarang tikus, serta menjadi tempat pungutan makanan oleh kucing ataupun anjing liar.

Pengunjung bazar Ramadan juga perlu memainkan peranan mereka. Mereka tidak boleh meletakkan kenderaan dengan sesuka hati hingga menjejaskan laluan trafik serta keselamatan perjalanan orang yang lalu lalang di bazar Ramadan.

Adalah penting supaya pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menempatkan sekurang–kurangnya dua anggota mereka di setiap tapak bazar Ramadan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Pengunjung bazar Ramadan juga harus memberi kerjasama untuk menjaga aspek kebersihan tapak bazar Ramadan dengan tidak membuang sampah sarap di merata–rata tempat.

Sikap berjimat cermat serta tidak boros berbelanja harus disemai di dalam minda dan hati semua pengunjung di bazar Ramadan.

Jangan jadikan bulan Ramadan Al – Mubarak sebagai bulan untuk melakukan pembaziran serta kerosakan. Semua pihak harus memastikan supaya kedatangan bulan Ramadan Al – Mubarak pada tahun ini membawa barakah dan rahmat untuk semua pihak.


Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.