Tolong jangan 'viral' kan artikel saya - Faizal Rosly

Tolong jangan 'viral' kan artikel saya - Faizal Rosly
Sempena tahun baru 2016 ini, marilah kita sama-sama berazam untuk berfikir sejenak sebelum berkongsi sesuatu di media sosial.
Di zaman kegemilangan media sosial ini, satu perkataan yang sering kita dengar adalah 'viral'.

Kalau dahulu perkataan ini hanya menjadi bualan para doktor ketika mereka makan tengahari, tetapi kini setiap kali melayari susur masa Twitter mahupun Facebook, pasti ada kisah viral yang dipaparkan.

Viral dalam konteks media sosial adalah sesuatu yang tersebar secara meluas dan mendapat kepopularan segera melalui komunikasi media elektronik.
Jadi, apa yang boleh membuat sesuatu itu menjadi viral?


8 Kisah 'Viral' yang positif

[VIDEO]: Kisah viral peniaga donut 10 sen 

[VIDEO]: Rayani Air: Bacaan doa sebelum berlepas jadi viral

[VIDEO]: Video kanak-kanak nasihat ibu, menyentuh perasaan

[VIDEO] Kisah budak 3 tahun jaga ibu sedang sakit jadi viral

[VIDEO]: Netizen beri sokongan hebat kepada ucapan #SayaZAHRA

[VIDEO]: Remaja Islam reka jam dari Texas dijemput ke White House

[BACA]: Foto budak gelandangan belajar tepi jalan di Manila jadi viral

[GAMBAR]: Penyampai Sinar FM bantu wanita cacat penglihatan buat anda terharu



Faktor utama yang memainkan peranan adalah tindak balas emosi positif mahupun negatif terhadap sesuatu kisah itu.

Masyarakat cukup gemar dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi ataupun cerita penderitaan yang meyayat hati.

Namun, masalah timbul apabila kisah yang disebarkan itu sebenarnya bukan seperti yang tertera.


Sebar dahulu, siasat kemudian

Dewasa kini banyak kisah palsu yang menjadi popular, sebelum kebenaran akhirnya terdedah.

Ini kerana masyarakat gemar menekan butang ‘Share’ dan ‘Retweet’ sepantas Watson Nyambek di zaman kegemilangannya.

Mana ada masa nak siasat perkara sebenar, yang penting dapat kepuasan diri menjadi orang terawal menyebarkan berita terkini mengalahkan Astro Awani.

Dengan bilangan ‘Like’ dan ‘Retweet’ yang mencecah ribuan itu bolehlah kita jadikan modal untuk berlagak dengan saudara-mara masa pulang ke kampung nanti.

Itu yang kita kadang-kadang tertipu dengan kisah Pak Ngah-siapa-entah yang sakit buah pinggang perlukan wang untuk rawatan, tetapi rupa-rupanya itu hanyalah teknik untuk menggelapkan wang, lebih licik daripada MLM.

Kerana terlajak perahu, akhirnya terpaksa minta maaf, seperti dalam kisah di sebalik video viral bayi terkunci dalam kereta di Shah Alam pertengahan tahun lalu. 


Viral kerana trend?

Kadang-kadang perkara remeh pun boleh menjadi ‘trending’.

Teman lelaki datang rumah malam-malam bawa McD apabila gadis mengadu lapar, terus dijadikan ‘relationship goal’.

Kalau saya bapa gadis tersebut dan ada lelaki datang rumah nak jumpa anak saya malam-malam buta, memang saya bagi ‘stone cold stunner’ dan makan burger tersebut.

Netizen juga turut berlumba-lumba memuat naik gambar perbualan lambang percintaan mereka di WhatsApp, walhal hampir kesemuanya direka kerana mahu cepat popular.

MESTI BACA: Cinta paling agung, inspirasi kisah viral suami isteri
 


Tak puas hati? Viralkan!

Ada juga benda yang boleh diselesaikan secara rasional di tempat kejadian, tetapi kita ambil keputusan untuk memanjangkan cerita di media sosial.

Selalunya perkara ini melibatkan interaksi dengan orang lain, contohnya layanan yang diterima di kompleks kerajaan mahupun di restoran.

Kadang-kadang pekerja restoran mamak tu tak sengaja terletak nasi penuh bila kita minta separuh, kita pula terus melenting, ambil gambar dan muat naik di media sosial tuduh mamak tu nak buat kita jadi gemuk.

BACA: Wanita disuruh pakai kain batik di pejabat JPJ

BACA: Tersalah sangka maksud #KimK, Fazura hanya perlu mohon maaf?
 


Kesan buruk akibat viral?

Bagi setiap kisah yang viral, tak kiralah sesuatu yang baik mahupun buruk, benda yang paling menarik untuk dibaca sebenarnya terletak pada ruangan komen.

Di situ, semua orang berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling betul, siapa yang paling ‘cool’.

Ada yang memilih untuk berdakwah tak kena pada tempatnya, ada juga yang tak matang menuduh mak kita berwarna hijau walaupun kita berhujah dengan fakta.

Kisah ‘penculikan’ yang viral baru-baru ini memang menarik perhatian.

Masyarakat rasa risau dengan keselamatan seorang gadis yang kononnya diculik, rupa-rupanya sekadar bersekedudukan dengan teman lelaki.

Macam plot novel cinta Melayu pun ada.
 


Reka cerita diculik kerana mahu bersama teman lelaki
 

Apapun moralnya di sini adalah, masyarakat akan menjadi lebih skeptikal apabila mendengar sesuatu berita, tiada siapa mahu percaya walaupun jenayah sebenar telah berlaku, seperti kisah teladan popular Pengembala Kambing dan Serigala.
 


Reaksi positif kesan daripada 'viral'

Kita boleh menarik nafas lega kerana ada juga yang mendapat manfaat kesan daripada kisah-kisah viral ini.

Contohnya, donut harga 10 sen menjadi buah mulut masyarakat dan  jualan ‘diapers’ pun meningkat akibat aktiviti makan dalam lampin bayi.

Tidak lupa, Datuk Vida pula semakin popular dengan teknik pemasaran viral yang dikatakan menjengkelkan tetapi sebenarnya memberi impak yang cukup besar di minda masyarakat.

Sempena tahun baru 2016 ini, marilah kita sama-sama berazam untuk berfikir sejenak sebelum berkongsi sesuatu di media sosial.

Kita sendiri pun kalau berkata-kata keji di media sosial, pantas sahaja orang akan ‘screenshot’ dan viralkan.

Akhir kata, ingatlah pepatah moden ini; buat baik berpada-pada, buat jahat masuk Astro Awani.
 


Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.