Bagai bulan jatuh ke riba.

Itu peribahasa yang sesuai untuk gambarkan nasib seorang pelukis seni grafiti, Katun atau nama sebenarnya, Abdul Hafiz Ab Rahman.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Katun tidak putus-putus menyatakan bahawa dia tidak percaya karya grafiti yang dihasilkannya menjadi pilihan penyanyi popular R&B, Chris Brown.

“Saya sehingga sekarang tidak percaya perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi apabila Chris Brown sendiri ‘post’ karya saya di semua platform media sosialnya.

“Siapa yang tak gembira apabila peluang yang tak dijangka ini datang, bagi saya ini adalah nasib akhir tahun (2018) yang baik buat saya apatah lagi mewakili negara tercinta,” katanya.


Bagi Katun, percaya kepada usaha diri sendiri adalah pemangkin buat dirinya untuk berjaya.

“Apa yang saya ingin katakan buat orang awam di luar sana, kita perlu percaya pada diri sendiri dan terus berusaha sehingga sesuatu yang ingin kita capai terlaksana.

“Dalam kata lain, kita perlu lakukan sesuatu itu sehingga jadi dan biarkan apa yang orang nak kata,” katanya.

BACA: Pelukis grafiti Malaysia reka 'cover' single terbaharu Chris Brown

Pada 4 Januari lalu, Undecided yang menggunakan ‘cover’ hasil Katun dilancarkan dan ia disenaraikan sebagai single pertama Chris untuk album keempatnya, Indigo.