Presiden pergerakan Movement X di Belgium, Dyab Abou Jahjah memulakan #JesuisAhmed ataupun "Saya Ahmed" bagi mengenang seorang anggota polis beragama Islam, Ahmed Merabet yang ditembak mati penyerang pejabat majalah Charlie Hebdo.

Tweet Dyab yang juga seorang aktivis politik di-retweet lebih 20,000 kali sejak Rabu dan dibaca oleh jutaan manusia di seluruh dunia.
Pengguna media sosial menyifatkan Ahmed sebagai wajah sebenar orang Muslim moden, sementara tiga penembak tersebut merupakan penjenayah dan pelampau.

Ahmed juga diangkat sebagai wira dalam insiden menembak yang berlaku pada Rabu.
Orang ramai, bukan sahaja Muslim, mula berkongsi idea yang sama bagi membezakan Muslim sebenar dengan pelampau.
Pada masa sama, penyampai Channel News Asia, Steve Lai berpendapat orang yang mati mempertahankan kepercayaannya lebih kuat daripada orang yang membunuh kerana kepercayaannya.

Dengan cara yang lebih mudah, Youssef Kobo hanya mengucapkan ingin terima kasih kepada Ahmed.
Sementara bekas penerbit dan hos Huffington Post, Ahmed Shibab-Eldin berasa ironi kejadian itu adalah penembak membunuh orang yang dinamakan sempena Nabi Muhammad SAW sedangkan misi mereka ialah membalas dendam terhadap orang yang menghina Nabi.

Bagi Ahmed Ansari, apa yang berlaku bukan berkaitan kebebasan bersuara tetapi mengenai perebutan kuasa.
Ali Salam antara yang menyokong kempen #JeNeSuisPasCharlie atau "Saya bukan Charlie".

Ali berasa pemikiran Eropah kini menjurus ke arah perkauman dan xenofobia. Baginya, ancaman sebenar dunia adalah Orde Dunia Baru bukan warga Muslim.