Video gelagat seorang wanita yang mengamuk kerana keretanya dilanggar seorang lelaki berumur menjadi trending, namun pengguna media sosial perlu menilai niat mereka untuk kongsi video dan komen mereka di platform seperti Twitter dan Facebook.

Seorang pakar media sosial bersetuju bahawa amalan buli siber tidak boleh diterima susulan penyebaran gambar wanita dan maklumat peribadi yang dikongsi di media sosial berserta komen-komen negatif.

"Pengguna media sosial harus tanya diri mereka sendiri apa niat mereka untuk kongsi video berkenaan. Sebagai contoh, jika mereka ingin kongsi video itu, mereka harus meletakkan mesej bahawa tingkah laku gadis itu tidak sepatutnya dicontohi. Mereka boleh memberitahu kenalan wanita itu agar mereka boleh menasihatkannya. Biar mesej itu jelas.

"Lebih baik jangan kongsi video itu jika anda akan terus mengkritik beliau dengan kata-kata kesat," kata perunding media sosial dan pengasas Peace Meal Zain HD kepada Astro AWANI.

Zain juga melahirkan kekecewaan dengan trend pembulian siber dan juga beberapa pengguna media sosial mementingkan populariti mereka.

"Likes, Retweets, Shares adalah nilai yang penting di media sosial. Kritikan seseorang diukur dengan jumlah RT atau Shares yang diterima. Motivasi mereka bukan untuk menasihat atau membetulkan tindakan wanita berkenaan tetapi untuk menjadi lebih popular.

"Agak sedih bahawa trend pembulian siber adalah seperti satu budaya. Namun untuk menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, pengguna media sosial perlu memikirkan tentang cara penyelesaian dari terus menghina wanita itu.

Ramai yang memuji sikap lelaki berumur itu di dalam video berkenaan namun ironinya ramai yang bertindak dengan cara ekstrem," katanya.

Sementara itu, pengarah urusan Zubedy (M) Sdn Bhd dan aktivis sosial Anas Zubedy berkata sesiapa boleh marah cuma kemarahan itu ada hadnya.

"Tidak mengapa untuk marah. Tidak mengapa untuk wanita itu marah kerana beliau mungkin memiliki sebuah kereta baharu. Tidak mengapa untuk pengguna media sosial marah atas tindakan wanita berkenaan untuk memaki lelaki berumur itu. Ia perlu masa yang sesuai, tempat yang betul, situasi yang betul dan pada kadar yang betul.

"Jika kita terlalu marah jadi kita seperti wanita di dalam video itu," kata Anas ketika dihubungi Astro AWANI.

Kebimbangan utama Anas adalah bahawa wanita itu mungkin sedang berhadapan dengan satu tekanan.

"Dia seorang perancang perkahwinan dan itu adalah satu kerja yang mempunyai tahap tekanan yang tinggi. Ketika itu, dia mungkin berada di bawah tekanan yang hebat. Jumlah kemarahan beliau di luar batasan," katanya.

Anas mencadangkan agar wanita itu bersemuka dengan lelaki berumur itu dan meminta maaf secara peribadi.

"Itu adalah perkara yang terbaik. Berikan dia peluang untuk memohon maaf," tambahnya.