Satu video rakaman kamera litar tertutup CCTV dari Korea Selatan kini mula trending di platform YouTube. Video itu memperlihatkan sepasang lelaki dan wanita terjatuh ke dalam lubang sedalam 10 kaki.

Kejadian berlaku di ibukota Seoul pada Jumaat lalu. Pasangan itu dilihat turun dari sebuah bas dan secara tiba-tiba jatuh ke dalam laluan jalan kaki yang runtuh.

Pasukan bantuan termasuk bomba dikerah ke tempat kejadian bagi membantu pasangan tersebut.

Menurut ITV News, penyiasatan sedang dilakukan di kawasan tersebut dan berkemungkinan ia berpunca daripada pembinaan dua buah bangunan apartmen 39 tingkat berhampiran.

Pasangan berkenaan yang cedera ringan kini sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan stabil.