Cadangan untuk mengkaji semula Akta Penerbangan Awam 1969 untuk mewajibkan permohonan kebenaran penerbangan bagi penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron seberat 20 kilogram ke bawah semakin mencuri perhatian ramai.

Semuanya gara-gara seorang pengguna dron tempatan yang melampaui batas dengan mengambil video dalam kawasan lapangan terbang.

Sebelum ini pengguna atau pemandu dron bebas untuk terbang sebagai hobi namun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mahu mengenakan larangan terbang bukan sahaja di lapangan terbang tetapi turut merangkumi penggunaannya di tempat awam.

Pihak berkuasa United Kingdom (UK) turut bimbang dengan penggunaan dron yang semakin meluas dengan mencadangkan beberapa peraturan terhadap penggunaan dron komersil dan rekreasi.

Sebuah jawatankuasa membentang beberapa cadangan termasuk mewajibkan penggunaan dron sebagai hobi untuk berkongsi maklumat perancangan penerbangan mereka pada pangkalan data dalam talian sama seperti yang dikenakan kepada juruterbang dron komersil.

Pendaftaran itu penting bukan sahaja bagi memantau trafik di ruang udara tetapi juga mengambil tindakan ke atas pemilik dron yang melanggar peraturan penerbangan.

Ada juga pihak yang mahu menggunakan teknologi bagi memantau penerbangan setiap dron dengan British Model Flying Association berkongsi idea sebuah cip pengenalan dimuatkan pada setiap dron yang digunakan sebagai rekreasi.

Cip pengenalan itu mengandungi maklumat pemilik dron dan juga membolehkan pihak berkuasa mengumpul maklumat pergerakan UAV itu.

Ada juga cadangan meningkatkan penggunaan 'geo-fencing' yang mengggunakan sistem GPS pada dron untuk menghalangnya melalui kawasan larangan. Sistem tersebut diprogram lebih awal oleh pengeluar peranti itu.

Segala peraturan yang bakal diperkenalkan bukan untuk melarang atau menyekat penggunaan dron di UK kerana peranti itu dipercayai mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada 150,000 orang di Eropah menjelang 2050.