Dengan penjenamaan yang tepat dan strategi pemasaran di media sosial, seorang usahawan secara tidak langsung memperkenalkan rawatan bekam kepada golongan muda.

Walaupun terapi penyahtoksin dan rawatan mengeluarkan sel darah merah mati ini bukanlah sesuatu kaedah yang baru, namun ia masih kurang pendedahan di kalangan anak-anak muda terutamanya di bandar.

Usahawan muda Mohd Shaifful Shazwan Mohd Radzuan, atau lebih dikenali sebagai Shark, 29, merasakan ini merupakan peluang perniagaan yang bagus.


Bekam
Pelakon terkenal Aaron Aziz antara pelanggan Viper Bekam yang diasaskan oleh Shark (kanan). -Gambar: Mohd Shaifful Shazwan
“Waktu itu saya bekerja dengan syarikat pengiklanan, penjenamaan dan pemasaran. Saya terfikir saya tidak boleh kerja dengan orang dan saya nak kerja sendiri. Perasaaan untuk kerja sendiri membuak tetapi saya tertanya-tanya perniagaan apa yang beza,” katanya yang ditemui di SOHO, Empire Damansara.

Beliau memerlukan masa untuk mencari jenis perniagaan yang berbeza dan ketika mendapat rawatan bekam kerana sakit belakang, terdetik di hati beliau bahawa ini merupakan peluang perniagaan yang bagus.

“Saya pernah menerima terapi bekam dan waktu itu saya terfikir bagus juga kalau terapi bekam ini kita jenamakan ia sebagai sesuatu yang ‘urban’, dan boleh menjadi satu gaya hidup. Pada masa yang sama, kita tawarkan harga yang berpatutan untuk semua golongan,” jelas Shark.


Bekam
Pusat Rawatan Viper Bekam terletak di SOHO, Empire Damansara namun menerima pelanggan yang membuat temu janji sahaja. -Gambar: Astro AWANI/Syafique Shuib

Viper Bekam diasaskan pada tahun 2013. Pada awalnya, strategi pemasaran digunakan Shark adalah perkhidmatan Instagram yang popular di kalangan pengguna media sosial Malaysia.

“Saya tidak menggunakan kaedah pemasaran konvensional seperti ke bazar atau mengedarkan risalah (flyers). Saya gunakan Instagram sahaja. Facebook pun kurang,”.

Walaupun terdapat kawan-kawan yang pada mulanya ragu tentang kaedah ini, namun Shark mula menerima pelanggan daripada warga media sosial yang ingin tahu tentang kaedah terapi ini.

“Dari Instagram itu saya dapat pelanggan saya. Saya pergi rumah ke rumah di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur. Dalam beberapa bulan, permintaan terlalu banyak dan terlalu jauh sampai tidak dapat pergi seperti ke Nilai, Seremban, Shah Alam, Klang, Bangi, Kajang, Sabah dan Sarawak.

“Selepas itu, saya terfikir untuk mencari tempat untuk orang datang dan dibuka kepada mereka yang membuat temu janji sahaja. Kini setiap bulan saya ada 90 pelanggan. 60 pelanggan saya tahu tentang bekam daripada Instagram dan selebihnya adalah rakan-rakan mereka pula,” jelas Shark.


Bekam
Set bekam yang diimport dari Korea Selatan. -Gambar: Astro AWANI/Syafique Shuib


Shark turut berkata bahawa golongan muda tahu tentang kaedah bekam namun tidak secara mendalam. Ada juga yang ragu-ragu dengan kaedah ini.

“Pada permulaan mereka agak takut tetapi mereka akhirnya mencuba. Selepas sesi percubaan, mereka dapat rasakan perbezaan dan akhirnya kembali lagi untuk melakukan terapi lagi.

“Dari sudut kesihatan dan kecergasan, kajian daripada pakar dalam dan luar negara mendapati terapi bekam banyak kebaikkan dalam merawat dan mencegah penyakit-penyakit yang berbahaya macam sakit jantung, stroke, gaut, tekanan darah tinggi, kencing manis. Apabila buang sel darah merah mati dan toksin di dalam badan, organ di dalam badan boleh berfungsi secara efisien.

Shark menjelaskan bahawa 80 peratus daripada pelanggan beliau adalah daripada golongan 25 tahun hingga 30-an. Selebihnya adalah 50 tahun ke atas.

“Bukan semua daripada golongan 50 tahun ke atas sudah membuat terapi bekam sebelum ini. Ada yang tidak pernah buat terapi bekam dan ada yang tidak terlintas untuk membuat bekam. Namun setelah tahu tentang Viper Bekam, mereka terus buat,” katanya.


Bekam
Kaedah dapat mencegah dan merawat penyakit-penyakit yang berbahaya. -Gambar: Mohd Shaifful Shazwan

Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Shark bercadang untuk mengambil diploma dalam jurusan bekam klinikal dan meneruskan kursus di luar negara dalam hijama terapi.

Selain itu ada cadangan untuk membuka kedai namun beliau harus menunggu jumlah pelanggan yang kukuh.


Bekam
Shark (kanan) bercadang untuk mendalami ilmu bekam di luar negara. -Gambar: Mohd Shaifful Shazwan


“Sekarang ini kita sudah ada lima ahli terapi dan mempunyai cawangan atau agen di Bangi dan Sentul. Kita akan tambah lagi di Shah Alam dan Taman Melawati.

“Ada yang mahu untuk menjadi ahli terapi atau menjadi agen kami, namun kami harus teliti untuk memilih dan mereka harus ikut SOP kami. Jadi apabila pelanggan menerima rawatan bersama mereka, ia sama dengan rawatan yang kami tawarkan,” jelasnya.