Pemilik akaun Instagram, the Rich Kids of Malaysia (RKOM) tidak bersetuju dengan pendapat yang diberikan pakar psikologi seperti yang dilaporkan Astro Awani sebelum ini.

Dalam temubual menerusi email, pemilik RKOM menjelaskan konsep penggunaan Instagram perlu difahami dari sudut yang lebih luas dan bukan semua komen terhadap akaun itu adalah negatif.

Baginya, Istagram adalah sebuah platform media sosial yang boleh dijadikan satu bentuk perniagaan dimana pemilik sesebuah akaun boleh menjana pendapatan dengan mempromosi produk pelanggan mereka.

RKOM juga berjanji akan menggunakan pengaruh media sosial itu untuk beramal jika ia mendapat 100,000 pengikut.

Tambahnya lagi, RKOM adalah untuk pengguna yang benar-benar memahami konsep akaun itu dan bersantai pada masa lapang.

Gambar yang dikongsi adalah hasil cadangan pengikut RKOM malah bukan semua yang menayang kemewahan di laman itu adalah dari golongan berada.

Jelasnya lagi, bukan semua gambar yang dicadangkan pengikut akan dipaparkan di akaun itu.

RKOM juga mengakui memuat naik gambar pengguna Instagram lain tanpa kebenaran pemilik gambar tetapi akan memadam gambar itu jika diminta pemilik tersebut.

Selain itu, RKOM juga menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat di Malaysia masih mampu menjalani kehidupan mewah.

Orang ramai juga perlu sedar bahawa salah guna gambar dalam internet adalah risiko yang harus diambil penggunanya, lebih-lebih lagi yang menggunakan 'hashtag' tertentu dan tidak memahami syarat privasi.

Nama akaun RKOM juga seakan sama dengan konsep akaun Instagram yang popular dari Iran, the Rich Kids of Tehran.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan mengulas mengenai RKOM dengan menyatakan kewujudan akaun itu membuktikan rendahnya tahap keyakinan kumpulan berkenaan kepada masyarakat sekeliling dengan 'menayang' barang mewah mewah anak-anak golongan hartawan negara.

Dr Abdul Jalil menjelaskan situasi itu sekali gus menunjukkan keadaan tidak normal pemilik laman berkenaan dengan dunia realiti.