Jarang sekali sukan sepak takraw mendapat perhatian rakyat Malaysia dan trending di media sosial.

Namun sepak takraw kini kembali popular dengan penyiaran secara langsung Kejohanan Sepak Takraw Siri Super ISTAF 2015.

Penyiarannya secara langsung oleh Astro Arena memberi nafas baru kepada sukan itu selepas berjaya meletakkan penanda aras bagi kualiti liputan dan penyiaran bagi sukan bola sepak dan badminton tempatan sebelum ini.

Hashtag #ISTAF turut trending hari ini semasa final kejohanan Malaysia menentang musuh tradisi Thailand, yang menyaksikan pasukan negara menang 21-7 dan 21-19.

Kejayaan dan corak permainan yang hebat pasukan Malaysia nampaknya menarik minat orang ramai untuk kembali menonton sepak takraw.

Ribuan pengguna media sosial mengucapkan tahniah kepada skuad negara atas kejayaan itu dan berharap ia akan berterusan.

Kejohanan Siri Super ISTAF juga dilihat memberi impak yang positif kepada pembangunan sepak takraw negara.
Selain pemain, penyokong yang hadir memberi sokongan padu kepada pasukan Malaysia turut dipuji.