Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA) Universiti Malaya sekurang-kurangnya satu dalam setiap sepuluh nelayan di Kuantan merupakan HIV positif.

Di peringkat global, masyarakat nelayan telah dikenal pasti sebagai antara kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV. Waktu kerja yang panjang di laut merupakan faktor penyumbang kepada penggunaan dadah. Malah di sesetengah negara, penyebaran HIV juga disebabkan perdagangan seks di pelabuhan perikanan.

Balik kepada lokasi Kuantan, di daerah tersebut wujud sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Komuniti Intervensi Dadah (DIC) pada 1988 yang dikendalikan oleh bekas penagih dadah. Biarpun hanya bermula sebagai NGO berpengkalan di Kuantan dengan lima ahli (semuanya bekas penagih dadah), kini ia telah berkembang diperingkat kebangsaan dengan 160 kakitangan - yang mana sebahagiannya merupakan bekas penagih dadah - yang beroperasi di 22 kawasan di seluruh negara.

Berbagai perkhidamatan disediakan oleh DIC daripada talian bantuan 24 jam, kaunseling, program outreach, penempatan pekerjaan, turun di pusat-pusat pemulihan, rumah perlindungan (bagi wanita dan kanak-kanak juga) dan spektrum penjagaan menyeluruh disediakan kepada pengidap HIV, sehingga urusan pengebumian mereka (beberapa keluarga dan masyarakat menolak untuk mengendalikan urusan pengebumian untuk orang yang positif HIV yang telah meninggal dunia).

Salah satu program DIC yang berjaya ialah membantu untuk mengurangkan jangkitan HIV di kalangan pengguna dadah suntikan adalah Program Pertukaran Jarum (NSEP) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pengurangan kemudaratan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia pada tahun 2006.

Menerusi bantuan dari UM CERIA dan DIC, wartawan kanan Astro Awani, Cynthia Ng berpeluang mendekati sekumpulan nelayan di Kuantan yang masih terlibat mengambil dadah.

Dokumentari penuh mengenai isu ini akan disiarkan malam ini dalam rancangan In Fokus pada jam 8.30 malam. Ia menawarkan gambaran ringkas kepada dunia penagih tegar dan realiti masalah dadah di kalangan masyarakat nelayan di Kuantan.