Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Astro AWANI menampilkan beberapa program khas yang dibawakan khusus kepada penonton yang disiarkan melalui saluran 501 serta boleh juga diikuti melalui laman web ini.

Antaranya ialah program ‘PRU Isu’ yang mula ke udara pada Khamis. Program itu menampilkan hos Suhaimi Sulaiman, Kamarul Bahrin Haron dan Nazri Kahar yang menjelajah ke seluruh negara mendekati segenap lapisan masyarakat untuk berbincang mengenai isu pilihan raya.

“Ia adalah sebuah rancangan untuk mendekati dan memahami masyarakat di luar sana. Media selama ini selalu melaporkan kenyataan yang diberi oleh pemimpin, ahli politik, akademik, badan-badan bukan kerajaan.

"Namun melalui rancangan ini, kami mahu mengajak penonton untuk memahami kemahuan, harapan dan aspirasi rakyat. Ini adalah suara rakyat,” kata Pengarang Urusan Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman.

Dalam episod pertama yang disiarkan pada Khamis lepas (4 April), Suhaimi bersama dengan komuniti India khususnya golongan peniaga dan golongan menengah di Brickfields dan Bandar Klang meninjau mengenai harapan dan kemahuan mereka dalam pelbagai isu.

Kamarul Bahrin pula bersama pesawah di Sekinchan dan nelayan di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Kawasan Bangi menjadi tumpuan Nazri mendekati golongan usahawan dah ahli akademik selain ke projek Homestay Bangkhuris untuk berkongsi pandangan bersama usahawan kecil dan sederhana.

Selain itu, berikut antara program-program yang lain terbitan Astro AWANI menjelang PRU-13:

PRU Trivia: Bersama hos Syed Farradino Omar, rancangan yang menguji pengetahuan orang ramai tentang pilihan raya dan politik tempatan. Ia bersiaran setiap hari jam 9.30 malam.

Vantage Point PRU: Hos Cynthia Ng dan Nadia Azmi berbincang tentang isu pilihan raya bersama pengundi muda di bawah umur 33 tahun. Vantage Point PRU bersiaran pada 6, 9, 12, 15, 18, 21 dan 24 April, pukul 8.30 malam.

PRU & GEN Y: Hos Ashwad Ismail dan Shafizan Johari menemuramah golongan profesional muda dan berbincang tentang bagaimana membina kerjaya mereka, pengurusan kewangan dan kos kehidupan yang semakin tinggi. PRU & GEN-Y keudara pada April 5, 8, 11, 14, 17, 20 dan 23 jam 8.30 malam.

Trek Kempen: Hos dan wartawan Astro AWANI akan mengikuti rutin seharian calon-calon baru pada PRU-13. Rancangan ini akan ke udara pada hari pencalonan.