MH17
MH17
Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

Aspirasi dan perubahan sistem pendidikan dengan pelaksanaan PPPM

comments
Hasil

Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam.

Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.

Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.

"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata pelan pembangunan berkenaan.

Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan.

Aspirasi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.

Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun.

Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat.

Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir.

Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian.

Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga menghayati kepelbagaian.

Soalan UPSR dan SPM

Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu.

Pencapaian

Walaupun prestasi murid di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad lalu, namun terdapat risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh dilihat melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.

Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009+), penyertaan kali pertama Malaysia, yang mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga  terbawah dalam kalangan 74 negara peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009 gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus dalam Sains," menurut pelan itu.

Pelan itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM, sistem pendidikan